Thursday, 24 September 2015

thank you encik bodyguard

Satu…dua…tiga…lari!!!!

Dia membuka langkah seribu. Dia perlu menyelamatkan diri. Kalau tidak, pasti hidupnya akan berakhir.
“ Tunggu, jangan lari!” Tiga orang lelaki lengkap bersut hitam dan berkaca mata hitam juga pantas membuka langkah seribu. Tidak cukup tanah dia berlari. Alisa semakin cuak. Semakin laju dia berlari, semakin pantas tiga orang lelaki itu mengejar dia.
“ Tepi! Ke tepi!!!” Alisa menjerit kepada mereka yang menghalang laluannya. Namun entah di mana silapnya, dia terlanggar seorang lelaki. Nasib baik tak kuat rempuhannya. Kalau tidak, mahu tergolek mereka di situ.
“ Sorry…sorry…” Alisa semakin pucat. Lebih-lebih lagi apabila melihat wajah teman wanita si lelaki yang sudah tidak seperti orang. Dalam hati dia mengutuk kerana kecuaiannya. Eh, tapi mana boleh salahkan dia. Dia dah jerit suruh ke tepi tapi degil tak nak ke tepi jugak. Kan dah kena…
“ Tunggu!”
Alamak! Alisa kelam kabut bila tiga orang lelaki tadi semakin menghampirinya. Dia kembali membuka langkah seribu. Apa-apa pun dia kena selamatkan diri dulu. Kalau tertangkap nanti, habislah dia!
Alisa sudah berpeluh. Nafasnya sudah tercungap-cungap. Langkah kakinya pula semakin perlahan. Dia sudah kepenatan.
Namun apabila dia menoleh ke belakang, tiga orang lelaki tadi masih tidak berputus asa mengejar dia. Alisa tahu dia perlu membuat keputusan drastik. Dengan langkah yang semakin hilang kawalan, Alisa menghampiri sebuah kereta Mercedes hitam metalik yang sedang terparkir di tepi jalan. Tanpa berfikir panjang dia terus membuka pintu belakang kereta itu lalu memboloskan diri ke dalamnya. Dia menunduk, bimbang tiga orang lelaki tadi sedar tempat persembunyiannya. Namun anak mata Alisa membulat apabila tiga orang lelaki tadi dengan langkah selamba menghampiri kereta Mercedes itu. Dia tahu ke aku tengah menyorok dekat sini? Alamak, macam mana ni?
Alisa mula perasan ada seorang lelaki sedang duduk di sebelahnya. Dia menoleh. Sekali lagi matanya membuntang.
“ Welcome back, Tengku Alisa.”
Alisa terasa ingin pengsan disaat itu. Inilah dikatakan terlepas dari mulut harimau, masuk ke dalam mulut buaya. Dia tahu kali ini dia memang tak akan selamat!
***
Nazim menghempas kuat pintu rumahnya. Nazman yang sedang khusyuk menonton televisyen sambil mengunyah makanan ringan terkejut. Dia menoleh ke arah Nazim yang sedang menghampirinya dengan muka ketat. Dah macam gangster pulak dia tengok si Nazim ni. Muka ketat semacam. Gerun pulak dia tengok.
“ Apasal kau ni? Muka macam nak belasah orang je.”
“ Kalau aku belasah kau, agak-agak kau balas balik tak?” Nazim bersuara sambil memandang tajam wajah Nazman yang penuh dengan tanda tanya. Macam dah boleh nampak simbol tanda tanya besar di atas kepalanya.
“ Hah, kau nak belasah aku ke? Apa salah aku? Apa dosa aku?” Mata Nazman sudah berair. Nazim mendengus. Belum buat apa-apa lagi Nazman sudah mahu menangis. Memang sotong betul mamat ni. Kembar siapalah agaknya ni!
“ Mak mana?”
“ Mak ada mesyuarat.”
“ Mesyuarat apa pulak?” Nazim mengerutkan dahi. Setahu dia, emaknya suri rumahtangga. Sejak bila pula emak terlibat dengan persatuan-persatuan dekat luar sana tu. Nazim melabuhkan punggung di sebelah Nazman. Dirampas plastik twisties dari tangan Nazman. Ditonggengnya keropok twisties itu ke dalam mulutnya.
“ Mesyuarat tingkap.”
“ Oh.” Dengan mulut yang penuh Nazim mengangguk. Emak memang tak habis-habis dengan bergosip.
“ Yang kau ni pulak kenapa muka ketat je? Intan tak nak jadi girlfriend kau ke?”
Nazim mengangguk. Serta-merta mukanya kembali membahang. Segala rancangannya sudah hancur berkecai. Tidak sampai satu jam mereka bercouple, Intan dah minta putus. Kalau tak kerana perempuan tu…tentu sekarang dia tengah bahagia dengan Intan.
“ Sorry…sorry…” Nazim menoleh. Matanya mencerun pada wajah pucat seorang gadis yang merempuh tubuhnya. Gadis itu kelam-kabut seolah-olah sedang melarikan diri dari sesuatu. Belum sempat Nazim membuka mulut memaki hamun gadis itu, gadis itu terus lesap.
“ You!!!” Nazim menoleh. Hampir meleleh air liurnya melihat seluruh muka Intan yang sudah comot dengan ais-krim. Langsung tidak disedari ais-krim yang berada dikedua-dua tangannya sudah selamat menonyoh wajah hitam manis Intan. Tidak sempat dia mahu menikmati ais-krim itu bersama-sama Intan.
“ I…I…bukan salah I…” Nazim sudah pucat lesi. Lagi-lagi apabila melihat wajah Intan seakan-akan sudah bertukar menjadi nenek sihir. Intan semakin berangin. Lebih-lebih lagi bila orang yang berada berhampirannya menghamburkan tawa.
“ Mama…mama…tengok badut tu!” Berdesing telinga Intan mendengar suara seorang kanak-kanak mengatakan yang dia badut. Turun naik nafasnya menahan marah. Malunya dia jangan cakaplah. Dia kembali mencerunkan pandangannya ke wajah pucat Nazim.
“ Kita putus!” Terus Intan berlalu pergi meninggalkan Nazim yang sedang terpinga-pinga. Hati Nazim hancur berkecai melihat Intan pergi meninggalkannya. Baru setengah jam mereka declare sebagai pasangan kekasih, tapi Intan dah minta putus. Kenapa Intan? Kenapa begitu tega kau memperlakukan aku seperti ini? Bukan salah aku. Bukan salah aku!!!
Nazman mengesat air mata yang mengalir perlahan dipipi. Sedih dia mendengar cerita Nazim. Takkan pasal tu pun Intan sampai nak minta putus. Tak patut betul!
“ Sabarlah Zim…mungkin Intan bukan jodoh kau.” Nazim terus menghela nafas panjang.
***
“ Nyum! Nyum! Nyum!”
Alisa mengunyah daging steak dengan gelojoh. Tak cukup dengan itu, dia menjilat kelima-lima jarinya. Terbeliak mata Ku Rafi melihat gelagat gadis manis itu. Sempat dia mengerling ke sekelilingnya. Bukan dia saja yang pelik dengan tingkah laku Alisa tetapi pelanggan-pelanggan yang berada berhampiran mereka juga turut memandang jengkel.
“ Erk….alhamdulillah! Waiter, bagi saya satu lagi jus tembikai!” jerit Alisa. Dah macam dekat kedai mamak pula sedangkan ketika itu mereka sedang menjamu selera di sebuah restoran eksklusif.
“ Betul ke you ni anak Tengku Adnan?” tanya Ku Rafi. Sudah berkerut seribu dahinya. Biar betul mama ni. Takkan dia nak jodohkan aku dengan budak perempuan ni. Dah macam terencat akal je budak ni aku tengok.
“ Ha’ah la. Kenapa? Tak percaya ke?” Alisa mencungkil giginya dengan pencungkil gigi yang dikeluarkan dari tas tangannya. Berkali-kali dia sendawa kekenyangan. Kalau tidur pun best ni. Nasib baik sekarang bukan dekat rumah kalau tidak dah lama dia landing atas katil.
“ Straight to the point, bila you nak datang pinang I?” tanya Alisa. Kali ini dia mengambil cotton buds lalu mengorek telinganya. Terpejam-pejam matanya menikmati keasyikan mengorek telinga.
“ Sorry?”
“ Bila you nak pinang I? You tak dengar ke? Nah, ambil cotton buds ni. Korek telinga you dulu.”
Wajah Ku Rafi sudah merah padam. Malunya bukan kepalang. Memang perempuan ni terencat akal. Dekat tempat umum macam ni selamba badak dia je korek telinga. Pengotor betul!
Alisa terus mencapai gelas yang berisi jus tembikai yang baru dihantar oleh pelayan sebentar tadi. Dia terus meneguk rakus. Semakin terkebil-kebil mata Ku Rafi melihatnya. Akhirnya Ku Rafi menghela nafas panjang. Dia sudah bulat dengan keputusannya.
“ I tak akan terima you jadi isteri I.”
BURRR!!! Habis basah muka Ku Rafi dengan semburan jus tembikai dari mulut Alisa.
“ You! You memang…memang…argh!” Ku Rafi menghentak meja. Habis basah mukanya. Dengan wajah masam mencuka dia terus berlalu dari situ. Lagi lama dia berada di situ, mungkin lagi teruk dia akan dimalukan. Kenapalah mamanya boleh berkenan nak jadikan budak terencat akal ni sebagai menantu pilihan dia? Macamlah dah tak ada perempuan lain dalam dunia ni. Aku akan pastikan aku tak akan berjumpa dengan budak perempuan tu lagi!
“ Ku Rafi! Ku Rafi! Janganlah pergi sayang!” Alisa sengaja menjerit-jerit memanggil Ku Rafi. Namun Ku Rafi langsung tidak menghiraukannya. Yes! Dia dah pergi! Hahaha…padan muka kau! Kau ingat aku nak sangat kahwin dengan kau ke? Kalau tak kerana papa, tak ingin aku datang jumpa kau dekat sini!
“ Cik Muda tak apa-apa?” Dua orang bodyguard Alisa segera menghampiri Alisa apabila melihat Ku Rafi berlalu dengan wajah yang merah padam. Mereka bimbang Alisa diapa-apakan.
Alisa terus membuat muka muram. Mulutnya sudah tercebik-cebik menahan tangis. Matanya pula mula berair.
“ Lisa patah hati. Tolong bawa Lisa ke suatu tempat untuk Lisa tenangkan fikiran.” Mata Alisa terkedip-kedip memandang dua orang pengawal peribadinya. Mereka memandang Alisa dengan rasa simpati.
***
“ Sampai hati awak, Intan. Takkan pasal perkara sekecil itu pun awak nak buat saya macam ni. Saya sedih sangat!” Nazim menatap gambar Intan di dalam telefon bimbitnya. Dia mengesat air mata yang berjuraian dipipi. Angin dingin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik itu membuatkan dia kembali menggamit kenangannya bersama Intan. Sudah lama dia menyimpan perasaan pada Intan walaupun ketika itu dia tahu Intan sudah berpunya. Dan disaat Intan kecewa kerana ditinggalkan kekasihnya. Nazim mula mencucuk jarum. Mana tahu Intan akan terima dia pula. Memang Intan tiada hati pada Nazim tetapi bila Nazim mengatakan yang dia akan berusaha untuk memikat hati Intan, serta-merta Intan memberinya peluang namun peluangnya hancur berkecai akibat kejadian ‘tragis’ itu.
“ Jangan cari I lagi. I dah ada boyfriend baru!” Cepatnya hati Intan berubah. Sekelip mata sahaja hati Intan dimiliki lagi. Sikit pun Intan tak mahu memberinya peluang. Mentang-mentang Intan cantik, mudah saja dia memikat mana-mana lelaki. Sedihnya hati tidak terkata. Mengapa Intan begitu tega melukakan hatinya yang suci itu. Dia baru saja ingin menikmati hidup ini bersama insan tersayang, tetapi semua impian dan harapannya itu musnah. Kenapa Intan? Kenapa kau begitu kejam?
Sungguh kejam kau meninggalkan ku
Tanpa perasaan
Dikala hatiku merajai hatimu
Ku mohon kau jelaskan padaku
Sebab apa kau meninggalkan ku
Bukankah kita berjanji untuk sehidup semati…
BUK!
“ Adoi!” Nazim terjerit apabila seseorang melanggar badannya. Hilang berterbangan segala lamunannya. Nasib baik dia dapat mengimbangi badannya daripada terjatuh ke dalam tasik. Tapi malangnya, telefon bimbitnya sudah tercampak ke dalam tasik itu.
“ Sorry! Sorry!” Alisa tercungap-cungap. Dia menoleh ke belakang lalu mengatur langkah seribu apabila dua orang pengawal peribadinya semakin menghampiri dia.
Anak mata Nazim terbelalak. Perempuan tu! Perempuan yang sama yang menyebabkan dia kehilangan Intan. Dan sekarang telefon bimbitnya pula yang menjadi mangsa. Kali ini dia bertekad. Dia tidak akan lepaskan perempuan itu! Perempuan itu patut di ajar! Terus Nazim membuka langkah seribu mengejar Alisa. Kini berlakulah adegan kejar-mengejar di taman rekreasi itu. Alisa berlari dan terus berlari. Namun dalam hati dia tertanya-tanya mengapa lelaki yang dilanggarnya tadi turut mengejar dia. Rasanya dia dah minta maaf. Apa lagi lelaki tu nak?
“ Got it!” Nazim mencekup lengan Alisa. Memang tidak sia-sia bakatnya dalam larian. Mudah saja dia menangkap Alisa.
“ Kau nak apa?” Alisa sudah pucat lesi. Bimbang dia akan tertangkap dengan pengawal peribadinya itu.
“ Semua ni kau punya pasal. Ganti balik telefon aku!”
Alisa tidak tahu kenapa lelaki itu memaksa dia menggantikan telefonnya. Rasanya dia tak ambil telefon sesiapa. Namun dek kerana tidak mahu memanjangkan cerita, Alisa terus memberikan Iphone 4 miliknya kepada Nazim. Terus dia memecut meninggalkan Nazim yang sedang terkebil-kebil.
“ Iphone 4? Perempuan tu bagi aku Iphone 4? Yahoo…”
Nazim terus bersorak. Tidak sangka perempuan yang tidak dikenalinya itu memberi dia handphone secanggih itu. Samsung Corbynya yang sudah nyawa-nyawa ikan bertukar menjadi Iphone 4? Wow!
***
Alisa berjalan mundar-mandir. Sesekali dia mengusap dagunya, Sesekali dia menggaru kepala. Argh…peningnya nak fikir. Kalau tak nak fikir apa-apa boleh tak? Alisa menghampiri balkoni biliknya. Dia memandang ke bawah. Beberapa orang pengawal sedang mengawal sekitar rumahnya. Nampaknya papa dah tambah bilangan pengawal. Susahlah aku nak boloskan diri lagi kali ni! Alisa membentak. Apalah malang nasibnya. Setiap kali dia berjaya memboloskan diri, pasti dia akan tertangkap semula. Rimasnya dia bila ke mana-mana saja dia pergi pasti akan ada bodyguard mengekorinya. Dia rasa kebebasannya terbatas.
“ Kena reject lagi?” Tengku Adnan sudah mengeluh. Dia menghenyakkan punggung di sofa empuk buatan Itali. Wajah selamba Alisa dijeling sekilas.
“ Nak buat macam mana. Dah Ku Rafi tak berkenan dengan Lisa. Takkan Lisa nak paksa dia pulak.”
“ Entah-entah Lisa buat perangai lagi.” Tengku Adnan cuba menduga. Bukan dia tidak tahu perangai tidak matang anak tunggalnya itu. Sudah berpuluh-puluh calon suami dikenalkan kepada Alisa tapi sampai sekarang satu pun tak melekat. Nak kata Alisa memilih sangat, tak mungkin kot. Semua lelaki yang dikenalkan kepada Alisa bukan calang-calang orang. Semuanya bekerjaya, ada paras rupa dan berkedudukan. Takkan tak ada seorang pun yang berjaya memikat hati anaknya itu.
“ Mana ada Lisa buat perangai. Lisa layan Ku Rafi tadi memang terbaik… Lisa layan dia elok-elok, sopan santun tapi Ku Rafi je yang tak berkenan dengan Lisa. Dia kata Lisa memang tak sesuai dengan dia. Tak layak langsung untuk lelaki tampan macam dia.!” kata Alisa. Sengaja dia mereka-reka cerita. Kalau papa tahu perkara yang sebenar memang habis dia kena bambu!
“ Apa? Ku Rafi kata Lisa tak layak untuk dia??” Tengku Adnan sudah berdiri. Mukanya sudah merah padam. Pantang betul dia kalau ada orang mengutuk anak kesayangannya.
“ Ya papa. Dia cakap Lisa macam tu. Dia kata lagi Lisa ni dah lah macam budak-budak lepas tu ada hati nak kahwin dengan lelaki handsome macam dia. Ku Rafi siap suruh Lisa balik cermin muka Lisa ni dulu. Lepas tu dia boleh kutuk papa. Dia cakap papa dah kemaruk sangat ke nak bermenantu sampai aturkan blind date macam tu untuk Lisa. Lisa sedih sangat papa. Sampai hati Ku Rafi buat Lisa macam ni. Lisa rasa macam dah tak sanggup nak terlibat dalam blind date yang papa aturkan. Apa kata papa berhenti aturkan blind date untuk Lisa. Lisa penatlah papa…” kata Alisa panjang lebar. Matanya siap dikebil-kebilkan. Comel sangatlah tu!
Tengku Adnan berdeham. Dia berjalan mundar-mandir di hadapan Alisa. Sesekali dia mengurut dagunya. Sesekali dia mengerling wajah Alisa yang sedang tayang muka comel. Mula ada kesangsian dihatinya. Takkanlah Ku Rafi berani-berani saja cari pasal dengan anak dia? Kutuk sampai macam tu sekali? Hisy, boleh percaya ke ni? Entah-entah itu semua alasan Alisa mahu mengelak.
“ Boleh percaya ke ni? Papa tak rasa Ku Rafi sanggup cakap macam tu.”
“ Papa tak percayakan Lisa ke? Kalau tak percaya, papa tanyalah bodyguard Lisa tu.” Alisa sudah mencebik. Geramnya bila papa sendiri tak percayakan dia. Rasa macam nak hantukkan kepala dekat dinding pun ada jugak. Stress punya pasal!
“ Tak apalah. Kalau Ku Rafi tak nakkan Lisa, papa yakin masih ramai lagi dekat luar sana tu nakkan Lisa. Selagi Lisa tak kahwin, selagi tu papa takkan berhenti aturkan blind date untuk Lisa.”
Alisa menghela nafas panjang. Ingatkan papa dah berputus asa. Rupanya tidak… Hai, tak aman lagilah hidup aku nampaknya!
“ Sampai hati papa. Papa tak rasa ke yang Lisa ni macam dah desperate sangat nak berlaki? Papa janganlah paksa Lisa, please…”
“ Papa buat semua ni untuk kebaikan Lisa. Papa nak tengok Lisa bahagia.”
“ Sekarang ni pun Lisa dah bahagia. Lisa ada papa. Lisa bahagia dengan papa. Lisa bahagia dengan kehidupan Lisa!”
“ Lisa sayang, bukan itu maksud papa. Papa nak sangat Lisa hidup bahagia. Hidup di samping suami dan anak-anak. “
“ Tapi Lisa tak nak kahwin. Lisa kan muda lagi. Tak puas enjoy. Lagipun Lisa tak nak berpisah dengan papa. Lisa sayang papa.” Itu yang dibimbangi Alisa. Berkahwin bermakna dia perlu mengikut ke mana saja suaminya pergi. Dia tidak sanggup berpisah dengan Tengku Adnan. Kalau boleh sampai ke tua dia mahu duduk di bawah ketiak papanya.
Tengku Adnan menghela nafas panjang.
“ Kalau Lisa tak nak kahwin, Lisa kena sambung belajar. Itu saja pilihan yang papa boleh bagi.”
Alisa buat muka. Sambung belajar? Memang tak la…
“ Papa sendiri tahu anak papa ni otak udang…”
“ Then, Lisa kena kahwinlah. Full stop!”
“ Tapi…”
“ Minggu depan Lisa kena jumpa dengan Tengku Zahiril. Papa dah set kan tempat. Cubalah kenal-kenal dulu dengan Tengku Zahiril. Papa tengok dia tu baik dan sopan orangnya. Lisa layanlah dia baik-baik. Jangan buat perangai.
Lagi satu, jangan cuba-cuba nak larikan diri lagi. Faham?” Tengku Adnan terus berlalu. Nampaknya papa memang tak pernah kenal erti putus asa. Bekunya hati papa. Langsung tidak terkesan dengan muka minta simpati Alisa.
Alisa mendengus kuat.
“ Hello!”
“ Pulangkan balik Iphone aku!”
“ Hello, siapa ni?”
“ Aku perempuan yang bagi kau telefon Iphone petang tadi. Tolong pulangkan balik Iphone aku.”
“ Excuse me? Iphone ni dah jadi milik aku. Kau tak ada hak nak minta balik.”
“ Itu telefon aku. Hak aku!”
“ Kau sendiri yang bagi Iphone kau dekat aku, sekarang kau nak minta balik? Apa buruk sangat perangai kau ni?”
“ Aku tak sedar apa yang aku buat time tu. Lagipun kau tiba-tiba minta aku gantikan telefon kau. Kau ingat aku ni tokey kilang telefon ke? Sesuka hati minta telefon free dekat aku.”
“ Kalau kau nak tahu, pasal kaulah telefon aku tercampak dalam tasik. Aku tak kira, kau ganti balik telefon aku tu. Kalau tak, Iphone kau ni jadi milik aku!”
“ Baik. Aku ganti balik telefon kau. Esok jumpa aku kat tempat tadi.”
“ Okey!”
***
ALISA memandang Nazim dari atas ke bawah. Lelaki itu hanya mengenakan jeans lusuh dan bert-shirt berwarna biru laut. Rambutnya kembang macam sarang tebuan kerana tidak disisir rapi. Berserabut macam dilanda tsunami. Misainya tumbuh meliar. Bau badan jangan cakap la. Bau kari ada, bau ketiak pun ada. Mukanya pula…mak oi, masamnya mengalahkan asam kelubi! Ini manusia ke orang utan?
“ Ni telefon kau. Aku ganti balik.”
Alisa menghulurkan kotak telefon kepada Nazim. Pantas Nazim menyambutnya. Dia membuka kotak itu. Iphone 4?
“ Tapi telefon aku Samsung Corby je. Bukan Iphone 4.”
Alisa menggaru kepala.
“ Apasal kau tak cakap awal-awal. Aku dah terbeli Iphone 4 ni. Habis macam mana?”
Nazim turut menggaru kepala. Gatal semacam je kepala dia ni. Takkan ada kutu kot. Baru tiga minggu dia tak basuh rambut.
“ Tak apalah.Iphone 4 pun Iphone 4 lah. Janji kau dah ganti telefon aku.” Dalam hati Nazim sudah bersorak riang. Tak pasal-pasal dia dapat durian runtuh kali ni. Ada hikmah Samsung Corbynya tercampak dalam tasik.
“ Siapa lelaki tu?” Nazim bertanya. Dua orang lelaki lengkap bersut dan berkaca mata hitam sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Rasanya lelaki yang sama mengejar Alisa semalam.
“ Bodyguard aku.” Kening Nazim terangkat. Bodyguard? Mesti anak orang kaya ni.
“ Nama aku Alisa. Kau?”
“ Nazim. Apasal kau pandang aku macam tu? Kau dah terpikat dekat aku ke?” Nazim bertanya. Dia menjungkitkan kening sambil berposing di hadapan Alisa, cuba menarik perhatian Alisa. Tak sangka dirinya begitu tampan sampaikan Alisa boleh terpikat dengan dia. Bangga sekejap.
Alisa sudah terkebil-kebil. Dah berposing pulak si ‘mamat hutan’ ni. Dia ingat sekarang ni aku tengah buat uji bakat pencarian model ke nak berposing-posing bagai.
“ Dah berapa lama kau tak mandi? Serabut je aku tengok kau ni. Bau badan dah mengalahkan bau badan bangla.” Alisa memicit hidungnya. Berkali-kali dia terbersin kerana bau badan Nazim yang begitu menyengat.
Nazim mengangkat ketiak lalu menghidu ketiaknya. Ha’ahlah, busuk! Nazim menenyeh hidungnya sendiri. Kerana terlalu berpatah hati dengan percintaannya yang tidak kesampaian, Nazim sampai terlupa menjaga kebersihan diri. Rasanya dah beberapa hari juga dia tak mandi. Ini semua kerana perempuan yang berada di hadapannya sekarang. Kerana perempuan ni aku kehilangan Intan!
“ Ada aku kisah? Badan aku. Biarlah aku nak bau macam bangla ke, negro ke. Kau sibuk apahal?”
Alisa mencebir bibir.
“ Dahlah. Daripada melayan kau, baik aku balik. Sekarang hutang aku dekat kau dah langsai. Aku dah gantikan balik telefon kau yang dah tercampak dalam tasik tu. Lepas ni kau jangan tuntut apa-apa lagi dekat aku, faham?”
“ Banyak cantik muka kau. Kalau kau nak tahu, pasal kaulah aku putus dengan Intan. Sebab kau, Intan tinggalkan aku.”
“ Apa kena-mengena dengan aku pulak. Intan tu pun aku tak kenal siapa, tiba-tiba kau nak tuduh aku. Baik, kalau kau tetap nak tuntut ganti rugi, kau beritahu aku berapa pun aku sanggup bayar. Aku nak semuanya langsai hari ini juga.”
“ Aku tak mahu duit kau!”
“ Habis tu kau nak apa?”
“ Sebagai ganti rugi kau kena jadi girlfriend aku.”
“ Hah?”
***
Alisa melangkah mengikut rentak kaki. Dari sebuah ke sebuah kedai dilawatinya. Namun tiada langsung benda yang menarik perhatiannya. Dia benar-benar kebosanan. Akhirnya dia memasuki kedai permainan. Dia memandang sekeliling. Nampak seronok pula bila tengok budak-budak dekat situ bermain games. Alisa menghampiri dua orang bodyguardnya yang berwajah bengis. Macam manalah orang tak takut nak dekati dia, tengok muka bodyguard dia yang macam nak telan orang tu pun dah kecut perut.
“ Jom kita main games kereta nak tak? Kita lawan.” Alisa memandang wajah dua orang bodyguardnya yang sedang berdiri seperti Tugu Negara. Alisa ke kanan, bodyguardnya ikut ke kanan, Alisa ke kiri, bodyguardnya pun ikut ke kiri. Agaknya kalau dia terjun bangunan, dua orang bodyguardnya itu pun akan ikut terjun jugak. Argh!!! Rimasnya memang tak terkata.
“ Jomlah. Lisa bosanlah.” Alisa sudah merengek. Dua orang bodyguardnya itu memandang sesama sendiri. Akhirnya Alisa bersorak suka apabila bodyguardnya itu bersetuju untuk memenuhi kehendaknya. Alisa mengambil tempat di tengah-tengah lalu mereka dengan rasa teruja bertarung untuk memenangi perlawanan. Terjerit-jerit dua orang bodyguard Alisa apabila kereta mereka berjaya melintasi antara satu sama lain. Boleh tahan jugak bodyguard dia ni.
Main sampai tak ingat dunia. Pertama kali dia melihat bodyguardnya seperti orang. Kalau tak muka bengis je memanjang mengalahkan gorilla!
“ Lisa nak teddy bear tu. Cepat dapatkan untuk Lisa,” rengek Alisa.
“ Tapi Cik Muda…Tengku dah arahkan Cik Muda kena balik sekarang.”
Wajah Alisa sudah keruh. Dahlah dia bosan duduk rumah, bila keluar sekejap papa dah bising-bising suruh dia balik. Argh…tak sukanya bila hidup sentiasa dikawal. Gaya hidupnya dah mengalahkan anak raja. Tak boleh ke papa tengok dia senang sikit? Alisa membentak dalam hati. Dengan perasaan berbuku terus dia keluar dari kedai games itu. Alisa menapak dan terus menapak. Akhirnya dia berhenti di sebuah kedai yang menjual pakaian dalam wanita.
“ Lisa nak masuk kedai ni sekejap. Kamu berdua boleh tunggu dekat sini.” Terus Alisa menonong sebelum sempat bodyguardnya itu bersuara. Lama Alisa berteleku di dalam kedai itu. Dia tahu bodyguardnya tidak akan berani melangkah masuk ke dalam kedai seperti itu. Alisa tersenyum dalam hati. Perlahan-lahan Alisa menjengulkan kepalanya mencari kelibat bodyguardnya. Melihatkan bodyguardnya yang sedang terleka melihat amoi-amoi seksi yang lalu di hadapan mereka, terus Alisa menyusup keluar. Apa lagi, Alisa terus cabut lari. Namun tindakannya itu tetap disedari oleh dua orang bodyguardnya itu. Mereka terus mengejar Alisa. Kini berlaku pula aksi kejar-mengejar di shopping mall itu.
“ Woi!” Nazim menjerit apabila seseorang telah melanggar dia. Habis mukanya ditonyoh dengan ais-krim.
“ Sorry…sorry…”
“ Kau lagi?” Nazim sudah memekik. Alisa mengambil nafas. Rasa nak semput pun ada jugak.
“ Kau ni kan asal jumpa kau mesti ada je bala menimpa aku. Boleh tak kalau kau jangan libatkan aku dalam hidup kau?” Nazim sudah membebel-bebel. Geram betul dia dengan Alisa. Dah tak ada muka lain lagi ke dalam dunia ni? Apasal muka perempuan ni jugak yang dia jumpa?
“ Kau tengok apa dah jadi dengan ais-krim aku. Aku tak kira, aku nak kau bayar ganti rugi sekarang jugak!” Nazim menjerkah lagi. Baru saja dia mahu menikmati ais-krim, Alisa sudah muncul membuat onar. Kempunan la dia nampaknya. Argh, dia tak kira. Dia akan tetap minta ganti rugi walaupun ais-krim yang dibelinya itu tidak sampai tiga ringgit. Alang-alang minta ganti rugi, baik dia minta banyak-banyak. Tiga ratus ringgit cukup kot. Perempuan tu kan anak orang kaya, tentu dia tak kisah berapa pun aku minta. Nazim sudah berkira-kira sendiri.
“ Cepat…cepat lari…orang tu…orang tu nak bunuh kau!” Alisa sudah tidak keruan melihat bodyguardnya semakin menghampiri. Dia memang dah tak ada masa mahu melayan ganti rugi yang diminta Nazim. Semua itu tak penting!
“ Apa?” Nazim terkejut. Bala apa lagi ni? Tanpa berfikir panjang dia terus menarik tangan Alisa lalu memecut laju. Lebih baik dia selamatkan diri sebelum nyawanya melayang.
“ Kenapa kau tipu aku?”
“ Tipu apa?”
“ Kau kata orang tadi tu nak bunuh aku? Macam nak melayang nyawa aku dibuatnya tadi. Aku pulak tak perasan yang mereka tu bodyguard kau.”
Alisa tersengih. Apa tidaknya, dengan cara itu saja dia boleh menghentikan bebelan Nazim. Dalam keadaan darurat seperti itu, dia tak ada masa nak dengar bebelan dan tuntutan ganti rugi lelaki itu. Dia memandang wajah Nazim yang masih comot dengan sisa ais-krim yang sudah kering.
“ Nah, ambil ni. Lap muka kau tu. Comot sangat.” Alisa menghulurkan sapu tangannya pada Nazim. Nazim mengambil tanpa banyak soal.
“ Kenapa kau selalu lari dari bodyguard kau tu?”
“ Aku bosan. Setiap masa hidup aku dikawal. Pergerakan aku sentiasa terbatas. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini tak boleh. Ke mana saja aku pergi pasti ada saja yang ikut. Sebab tu aku selalu larikan diri dari bodyguard aku. Aku pun nak rasa hidup bebas macam orang lain. Aku pun nak buat apa yang orang lain buat. Aku nak nikmati hidup aku macam remaja lain.”
Alisa menunduk. Sedih pula apabila memikirkan tentang hidupnya yang dikawal setiap waktu. Kalau boleh, dia nak ke toilet pun bodyguardnya itu mahu ikut. Hisy, kenapa malang sangat hidup aku!
“ Kesian dengan kau. Susah jugak jadi anak orang kaya macam kau ni kan. Tapi kau tak bolehlah nak selalu mengeluh macam ni. Mungkin ada sebab papa kau buat kau macam ni. Papa kau mesti nak yang terbaik untuk kau. Dia hanya nak pastikan anak dia sentiasa selamat.”
“ Tapi aku bukan budak kecil lagi. Aku dah dewasa. Aku tahu macam mana nak jaga diri. Papa tak bolehlah nak layan aku macam budak kecil. Aku sedih sangat bila papa buat aku macam ni. Aku teringin nak hidup bebas macam orang lain, macam kau. Aku teringin nak buat segala yang aku suka.” Alisa mengerling Nazim. Berkerut dahinya melihat Nazim yang sedang menyeka air mata.
“ Apasal kau menangis? Sepatutnya aku yang menangis, bukan kau.”
“ Bila masa aku menangis? Mata aku masuk habuklah!” Tegas Nazim bersuara. Malunya tidak terkira. Dia sendiri tidak sedar yang dia sudah mengalirkan air mata. Hilang sudah machonya.
“ Eleh, jawapan tu dah lapuk sangat. Aku tahu kau sedih dengar cerita aku. Eh, kau ni nampak je ganas tapi dalam hati ada taman ek?”
“ Kau jangan nak perasan boleh tak? Tak ada masa aku nak menangis pasal kau.”
Alisa sudah tersengih.
“ Pasal ais-krim kau tadi tu…Berapa ganti rugi yang kau nak?” tanya Alisa. Dia mula teringat akan ganti rugi yang diminta oleh Nazim tadi. Kalau boleh dia mahu selesaikannya sekarang. Dia memang tak suka berhutang.
“ Tak banyak. Aku minta RM300 je.”
“ RM300? Harga ais-krim kau tu berapa?”
“ RM3.50.”
“ Kau minta aku bayar ganti rugi sebanyak RM300 untuk ais-krim kau yang berharga RM3.50 tu?” Alisa sudah terkebil-kebil.
“ Itupun aku dah bagi diskaun. Kalau ikutkan aku nak tuntut RM500. Aku tahu kau tentu tak kisah, kan? Kau kan anak orang kaya. Setakat RM300 tu apalah sangat.” Selamba badak saja Nazim berkata-kata. Dikepalanya sudah terbayang-bayang duit tiga ratus ringgit yang akan menjadi miliknya sebentar lagi. Dahlah dapat Iphone 4, sekejap lagi dapat RM300 pula. Wah, memang bertuah hidup dia kebelakangan ini!
KUK!
“ Adoi! Woi, apa kau ni? Kau ingat kepala aku ni pintu ke nak main ketuk-ketuk?”
“ Padan muka kau. Kau ingat aku ni bodoh sangat ke nak bagi kau duit sebanyak tu? Nah, ambil lima ringgit ni. Hutang aku selesai!”
Nazim mengetap bibir. Hancur harapannya ingin mengaut keuntungan dari Alisa.
“ Kau kan anak orang kaya. Takkan berkira sangat?”
“ Yang kaya tu bapak aku. Bukan aku. Aku mana ada duit banyak tu. Kalau kau nak jugak, nah, ambil bulu hidung aku ni. Pergi jual tengok laku ke tidak. Nanti hasil jualan bulu hidung aku tu kau terus ambil.”
Nazim terdiam. Malas dia mahu membidas kata-kata Alisa. Nanti tak pasal-pasal bersilat pula mereka di situ. Nazim mendongak memandang ke dada langit. Bulan dan bintang-bintang bertaburan. Cantik dan dia rasa tenang menghayati ciptaan-NYA. Nazim menoleh ke sisi. Matanya tertancap pada wajah Alisa yang turut memandang ke dada langit. Baru dia perasan Alisa memang comel orangnya. Matanya bulat, alis matanya melentik, hidungnya separuh mancung dan bibir nipisnya kelihatan menawan apabila mengukir senyuman. Entah mengapa alunan jantungnya berdegup agak luar biasa. Dia terasa seperti mahu terkena serangan jantung.
“ Apasal kau pandang aku macam tu? Macam tak pernah tengok perempuan je,” tanya Alisa. Sedikit pun dia tidak takut berdua-duaan dengan Nazim di taman permainan yang hanya diterangi dengan lampu jalan. Buat apa nak takut. Dia ada tali pinggang hitam. Mudah saja dia menewaskan si Nazim yang kurus kering ni. Entah-entah kena pelempang dia sekali, Nazim terus pengsan. Tapi satu je yang dia takut. Takut kena tangkap khalwat. Tak ingin dia kena tangkap dengan si kurus kering ni. Dahlah rambut kembang macam sarang tebuan. Kusut pula tu. Entah-entah dah jadi ladang penternakan kutu. Nasib baik bau badan dia tak seteruk hari tu. Kalau tidak dah lama dia pengsan hanya kerana tak tahan bau badan Nazim yang busuk mengalahkan bau badan bangla!
“ Bila masa aku pandang kau. Aku pandang lubang hidung kau yang banyak bulu tu. Dahlah, jom aku hantar kau balik. Dah lewat sangat ni. Nanti papa kau risau.”
Nazim sudah mengibas rumput-rumput kering yang melekat dipunggungnya. Jarum jam sudah menunjukkan ke angka 10 malam. Mesti papa Alisa dah risau.
“ Tak perlu hantar aku. Aku dah call bodyguard aku. Ha, tu pun mereka dah sampai.” Alisa dan Nazim melangkah menghampiri sebuah Mercedes hitam yang sedang terparkir tidak jauh dari situ. Pintu kereta sudah siap terbuka untuk Alisa memboloskan diri.
“ Terima kasih sebab luangkan masa untuk aku. Terima kasih juga sebab kau sudi kawan dengan aku. Aku memang tak ada kawan lain selain kau.”
“ Kawan? Siapa nak kawan dengan kau? Kau tu girlfriend aku. Kan aku suruh kau jadi girlfriend aku sebagai ganti rugi aku putus dengan Intan.”
Alisa menjungkit kening. Lantas disepak kaki Nazim sekuat hati. Semalam dah kena sepak, hari ni kena lagi. Mengerang kuat Nazim dibuatnya. Padan muka!
“ Gila!”
***
“ Umur you berapa?”
Alisa menjungkit kening. Dia mengunyah perlahan nasi goreng ayam di dalam mulutnya. Wajah tampan Tengku Zahiril dipandang sekilas. Kacak tu memang kacak tapi sayangnya Alisa tetap tidak tertarik dengan lelaki itu.
“ 20 tahun.”
Lelaki itu terangguk-angguk. Dah macam burung belatuk pula.
“ No wonderlah.”
“ Kenapa?”
“ You, nampak macam budak-budak lagi. Tapi tak apa, I suka. You nampak comel bila macam tu. You tak sambung belajar lagi ke?
Alisa menggeleng.
“ I tak minat belajar. Masa sekolah dulu pun I selalu dapat nombor yang terakhir dalam kelas. Otak I ni memang jenis otak udang. Sebab tu I tak minat langsung nak sambung belajar. Papa pun tak paksa I.”
“ Hm…anak orang kaya. Apa susah. Tak belajar tinggi pun, tetap boleh hidup senang. Harta papa you tu tujuh keturunan pun tak habis makan.”
Terjungkit-jungkit kening Alisa mendengar perlian itu. Muka nampak baik tapi mulut boleh tahan juga lasernya. Jaga kau!
“ Eh, you ni memang tak laku ek?”
Alisa menguatkan suaranya. Beberapa orang pelanggan di restoran mamak itu menjeling ke arahnya. Memang sengaja dia menukar tempat pertemuan mereka. Dia ingin melihat bagaimana reaksi lelaki itu. Nampaknya Tengku Zahiril memang tidak betah berada di situ. Lelaki itu langsung tidak mahu memesan makanan atau minuman di situ. Kotor katanya. Tapi ada aku kisah?
“ Kenapa you cakap macam tu?”
“ Dah tu, kenapa you suruh mama you carikan you calon isteri. Takkan you tak ada steady girlfriend? Pelik I. Takkan lelaki macam you dah tak laku sangat sampai suruh mama sendiri carikan. Kesian betul you ek? Hahaha…”
“ You!” Ternyata kata-kata Alisa mengundang kemarahan Tengku Zahiril.
“ You pun tak laku jugaklah sampai papa you sendiri carikan calon suami untuk you?” Tengku Zahiril memulang paku buah keras. Alisa menjulingkan mata. Sengaja menyimbah minyak ke dalam api. Disaat itu dia ternampak Nazim melangkah masuk ke dalam restoran mamak itu. Dia tercari-cari tempat kosong. Alisa mengukir senyuman.
“ Mamak, teh ais satu!” Nazim menjerit. Dah macam nak terkeluar anak tekak dia menjerit. Macamlah mamak tu pekak sangat!
“ Woi, slow sikitlah. Bingit!” tegur salah seorang pelanggan yang berada berhampiran dengan Nazim. Nazim hanya tersengih.
“ Untuk pengetahuan you, I dah ada boyfriendlah.” Alisa menghampiri Nazim. Terus dia menarik tangan Nazim agar berdiri dan mengikuti langkahnya. Nazim yang sedang terpinga-pinga hanya menurut.
“ See…he is my beloved boyfriend, Nazim and I love him so much. So, I rasa you patut tarik balik kata-kata you tadi. Sekarang kita sendiri dah tahu siapa yang tak laku sebenarnya, kan?”
Tengku Zahiril terus berlalu dengan rasa marah. Alisa mengukir senyum kemenangan. Berkelip-kelip matanya menghantar pemergian Tengku Zahiril. Seketika kemudian dia menoleh ke arah Nazim yang seakan-akan sedang berada diawang-awangan.
“ Kau… kau cintakan aku?” Terus Nazim pengsan tidak sedarkan diri.
***
“ Jangan nak perasan boleh tak?”
“ Tapi tadi kau kata kau cintakan aku?”
“ Tadi tu aku hanya berlakon je. Aku tak sukakan lelaki yang papa pilihkan untuk aku. Sebab itu aku sengaja cakap yang kau tu boyfriend aku.”
“ Habis, kau memang tak suka dekat akulah?”
“ Aku baru je kenal dengan kau, terlalu cepat aku nak sukakan kau.”
“ Tapi aku memang dah sukakan kau.”
Langkah Alisa terhenti. Dia menoleh ke arah Nazim yang sedang menundukkan wajah. Masih diingati pertemuan mereka minggu lepas. Nazim meminta dia menjadi girlfriend lelaki itu sebagai ganti rugi. Gila ke apa?
“ Kau sukakan aku?”
Nazim berdeham.
“ Test…test..one…two…three..” Nazim membetulkan suaranya. Dia mula melutut di hadapan Alisa. Inilah masanya dia meluahkan perasaan pada Alisa. Dah seminggu dia praktikkan di rumah dan sekarang sudah tiba masanya dia meluahkan segalanya di hadapan gadis itu.
“ Aku mungkin tak layak untuk kau, tak setaraf dengan kau. Aku tak mampu nak berikan kemewahan untuk kau. Tapi aku nak kau tahu yang aku ikhlas sukakan kau. Mungkin terlalu cepat aku meluahkannya sebab kita pun baru je berkenalan. Tapi aku tak boleh nak tipu diri aku yang aku dah mula jatuh cinta pada kau. Apa yang aku rasa pada kau tak sama dengan perasaan aku pada Intan. Dengan kau, aku rasa suatu perasaan yang sangat indah. Perasaan yang aku rasa sukar untuk aku lepaskan. Melihat kau, aku mula memikirkan tentang masa depan, melihat kau, aku mula fikirkan tentang kebahagiaan. Aku rasa aku ingin memiliki kau. Aku nak habiskan sepanjang hidup aku bersama kau. Dan untuk pengetahuan kau, apa yang keluar dari mulut aku hari tu, datang dari hati aku sendiri. Memang aku ikhlas nak jadikan kau teman hidup aku.”
Alisa terkebil-kebil. Dua orang bodyguard yang berdiri berhampirannya juga turut terlopong mendengar luahan hati Nazim. Sungguh mereka kagum dengan keberanian Nazim meluahkan perasaannya pada Alisa. Melihat kesungguhan Nazim membuatkan kedua-dua bodyguard itu menyokong Alisa agar menerima cinta Nazim.
“ Walaupun kau punya papa yang suka mengongkong, walaupun kau punya bodyguard yang mukanya bengis macam pembunuh upahan, itu semua langsung tidak mematahkan semangat aku untuk terus memiliki kau. Aku hanya inginkan kau menemani hari-hari aku.”
“ Ehem…ehem…” Dua orang bodyguard Alisa sudah berdeham. Sesuka hati je mamat tiga suku tu cakap mereka macam pembunuh upahan.
“ Hehehe…sorry Encik Bodyguard. Terlajak kata pulak. Alisa…terimalah cinta aku yang tak seberapa ni. Aku berjanji akan membahagiakan kau, tolonglah terima cinta aku!”
Alisa sudah buat muka bosan.
“ Nonsense!”
Alisa terus mengatur langkah. Mana mungkin secepat itu Nazim boleh jatuh cinta pada dia. Dia sendiri tidak kenal siapa Nazim dan dari mana asal usul lelaki itu. Dia takut andai Nazim hanya mempermainkan hatinya. Tidak! Alisa tidak akan benarkan hatinya dipermainkan! Dengan perasaan yang agak bercelaru Alisa melintas jalan. Namun disaat itu jugalah sebuah kereta meluru ke arah Alisa.
“ Alisa!”
Alisa terasa tubuhnya tercampak ke tepi dan disaat itu telinganya menangkap bunyi dentuman. Alisa menoleh.
“ Nazim!!!”
***
“ Maafkan aku…”
Alisa menatap hiba sekujur tubuh yang masih terbaring lesu di atas katil. Air matanya terus-terusan mengalir. Sepatutnya dia yang berada di atas katil itu. Dia yang sepatutnya terbaring tidak sedarkan diri. Kalaulah dia lebih berhati-hati pasti Nazim tidak akan menerima nasib seperti ini.
“ Sabarlah. Jangan putus asa untuk terus berdoa semoga Nazim sedarkan diri.”
Alisa mengangkat muka. Wajah Nazman dipandang. Setiap kali dia melihat Nazman, dia seakan-akan ternampak Nazim. Apa pun yang Nazman lakukan, dia seakan-akan melihat Nazim sampaikan dia terkejut melihat Nazim yang sihat walafiat sedangkan setahu dia, dia melihat Nazim cedera parah dan berlumuran darah. Barulah dia tahu yang Nazim ada kembar.
“ Nazim dah selamatkan saya…Saya terhutang nyawa dengan dia.”
“ Nazim terlalu sayangkan awak, sebab itu dia sanggup korbankan diri sendiri untuk awak.”
“ Awak tahu?”
“ Antara saya dengan Nazim tak pernah ada rahsia. Dia ada bercerita pada saya tentang awak. Dia kata dia dah mula jatuh hati pada awak masa awak gantikan handphone dia hari tu. Nazim memang susah nak suka pada seseorang, dengan Intan pun dia ambil masa yang lama untuk suka Intan. Tapi sayang, hubungan dia dan Intan bertahan tak sampai satu jam. Dia kecewa sangat. Tapi lepas berjumpa dengan awak, dia bagaikan dapat sinar baru. Dia kata pada saya perasaan dia pada awak berbeza dengan apa yang dia rasa pada Intan. Saya nampak di mata dia, dia benar-benar mencintai awak tapi dia takut nak luahkan. Dia takut awak menolak. Tapi saya nasihatkan dia, sekurang-kurangnya dia perlu mencuba. Kalau ada jodoh dia dengan awak, InsyaAllah, Allah akan permudahkan. Sejak tu setiap malam saya tengok dia praktis dekat halaman rumah cara-cara untuk melamar awak jadi girlfriend dia. Saya nampak kesungguhan dia. Alisa, segalanya terletak ditangan awak. Saya tak paksa awak untuk terima Nazim. Awak berhak untuk pilih siapa pun dalam hidup awak. Cuma, saya harap awak fikirlah semasak-masaknya.” Nazman terus melangkah pergi seusai berkata-kata.
Alisa termangu seketika. Air matanya mula mengalir lesu.
“ Sebagai ganti rugi kau kena jadi girlfriend aku.” Alisa teringat kata-kata Nazim. Dia ingatkan Nazim hanya bergurau dan ingin mempermainkan hati dia. Tak sangka pula yang Nazim betul-betul serius. Alisa memandang Nazim yang masih kaku. Sudah hampir seminggu Nazim terbaring tidak sedarkan diri.
“ Nazim, bangunlah. Jangan buat aku macam ni. Aku rasa bersalah sangat. Aku perlukan kau. Hanya kau satu-satunya kawan yang aku ada. Hidup aku akan sunyi semula tanpa kau.” Alisa memekup mukanya, menahan tangisan yang semakin membuak. Entah mengapa dia rasa dia tidak sanggup kehilangan Nazim. Dia rasa dia tidak mampu meneruskan kehidupan ini tanpa Nazim. Saat ini dia hanya mahukan kehadiran Nazim menemani hari-harinya. Dia hanya mahukan Nazim!
***
“ NAZIM, bila kau nak bangun? Dah dekat dua minggu kau tak sedarkan diri. Kau tak penat ke terbaring je macam ni?” Alisa memandang sayu ke arah tubuh kaku Nazim. Nak menangis, air mata dia dah kering dah. Mana taknya, sejak Nazim terbaring kaku, air mata dia memang tak henti-henti mengalir.
“ Sabarlah…kita doa banyak-banyak supaya Nazim cepat-cepat sedarkan diri ya?” Nazman bersuara. Sejak Nazmi terlantar di situ, dia yang rajin berulang alik menemani Nazmi. Melihat kembarnya terlantar kaku, dia rasa sangat sedih. Terasa seperti setengah nyawanya melayang.
“ Dah dua minggu…” keluh Alisa.
“ Baru dua minggu belum dua bulan lagi.”
Kening Alisa terangkat. Pantas dia menoleh. Dia seakan-akan tidak percaya melihat Nazmi sedang tersengih memandang dia. Eh? Bukan tadi mamat ni koma ke? Macam mana pula dia boleh bangun? Takkan aku mimpi kot? Alisa sudah terpinga-pinga. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia mencubit pipinya sendiri. Auch! Sakitnya. Memang aku tak mimpilah. Ini bukan cobaan…ini betul-betul!
“ Nazim? Kau dah sedar Nazim?”Alisa sudah menjerit kuat. Naik meleleh tahi telinga Nazim dan Nazman mendengarnya. Kalau teruja sekali pun janganlah sampai menjerit macam tu sekali. Sakit telinga aku dibuatnya.
“ Belum. Aku belum sedar lagi.” Nazim sudah tersengih-sengih. Sebenarnya sejak semalam lagi dia sudah sedarkan diri. Sengaja dia berpura-pura koma. Sengaja dia ingin mendera hati gadis itu. Dia ingin melihat benar atau tidak apa yang dikatakan oleh Nazman. Tapi bila dia melihat wajah sedih Alisa sebentar tadi, dia rasa sangat terharu.
“ Aku gembira bila tengok kau dah sedar. Kau buat aku rasa macam nak mati tunggu kau dekat sini. Nazim,kau janji jangan tinggalkan aku tau. Aku rasa macam tak sanggup kehilangan kau.”
“ Alisa… adakah itu tandanya yang kau sudah mula mencintai aku?”
Pertanyaan Nazim membuatkan lidah Alisa terkelu. Betul ke aku dah mula mencintai dia? Alisa sendiri sukar mengerti apa yang sedang bermain dihatinya sendiri. Tapi apa yang pasti, dia memang tak mahu kehilangan lelaki itu. Dia tidak sanggup meneruskan hidup tanpa Nazim. Entah mengapa dia merasakan Nazim adalah segala-galanya.
***
“ Lisa nak kahwin!”
Tengku Adnan yang sedang enak menghirup teh panas di meja bulat di halaman rumah terus tersedak.
“ Lisa nak kahwin!” Alisa mengulanginya lagi apabila melihat papanya seakan-akan sedang berada diawang-awangan.
“ Betul ke? Alhamdulillah. Termakbul doa papa selama ini. Betul Lisa nak kahwin? Kalau macam tu mari kita pergi rumah Tengku Zahiril. Kita bincang apa yang patut.”
“ Lisa tak nak kahwin dengan Tengku Zahiril.”
Serta-merta hilang senyuman dibibir Tengku Adnan. Dahinya berkerut.
“ Habis tu Lisa nak kahwin dengan siapa?” Tengku Adnan pelik. Setahu dia Alisa tak ada teman lelaki. Kalau bukan Tengku Zahiril, dengan siapa pula Alisa nak kahwin. Takkan dengan salah seorang bodyguard Alisa pulak.
Alisa menghampiri Tengku Adnan. Dia mencapai tangan Tengku Adnan lalu dikucup penuh kasih. Dia sudah mendapat jawapannya. Setiap malam dia melakukan solat tahajjud dan istikharah meminta petunjuk dan akhirnya dia menemui jawapan yang dicari.
“ Alisa nak minta restu papa, Alisa nak berkahwin dengan Nazim.”
“ Apa?!” Tengku Adnan menjerit kecil. Terus terbangun dari duduknya. Alisa sudah berwajah pucat. Takut dia melihat reaksi papanya. Mungkin papanya tidak setuju dengan pilihan hatinya. Lagipun Nazim tu memang tidak setaraf dengan mereka. Papa tentu sukar mahu merestui dia berkahwin dengan Nazim. Namun reaksi yang ditunjukkan oleh Tengku Adnan berbeza sekali dengan tanggapan Alisa. Serta-merta Alisa tergamam dalam pelukan Tengku Adnan.
“ Papa gembira Lisa sudi terima Nazim. Memang itu harapan papa.”
“ Papa tak marah ke?”
“ Kenapa papa nak marah pulak?”
“ Nazim kan tak setaraf dengan kita. Dia tu setakat SPM je pun. Kerja pun tak menentu. Dahlah berserabut, macam orang tak mandi pun ada. Takkan papa nak lelaki macam tu jadi menantu papa?” Selamba badak saja Alisa mengutuk Nazim di hadapan Tengku Adnan. Kalau didengar dek Nazim ni memang habis kepala dia kena ketuk.
“ Papa tak kisah sesiapa pun yang jadi menantu papa asalkan anak manja papa ni bahagia. Lisa berhak menentukan pilihan Lisa. Papa hanya mampu berdoa untuk kebahagiaan Lisa.”
“ Terima kasih papa. Lisa sayang papa. Eh, papa ada tetamu ke sekarang ni? Mana dia?” Alisa baru perasan ada secawan teh yang baru terusik sedikit di atas meja bulat itu. Takkan papa minum sampai dua cawan sekali.
“ Dia pergi toilet tadi. Hah, tu pun dia.” Alisa menoleh.
“ Nazim!”
Nazim tersengih.
“ Nazim datang jumpa papa dan jelaskan semuanya. Dia ada beritahu papa yang dia nak melamar Lisa. Papa bangga dengan keberanian Nazim lagipun papa sangat terhutang budi pada Nazim. Kalau tidak kerana dia, tentu papa dah kehilangan anak manja papa ni. Nazim, uncle terima lamaran Nazim. Nanti bawa keluarga Nazim datang ke rumah ni. Kita selesaikan ikut adat ya.”
Nazim mengangguk. Semakin melebar senyumannya. Wajah merah padam Alisa dipandang. Suka dia melihat Alisa malu-malu seperti itu.
“ Saya dengar ada orang tu sesedap rasa je kutuk saya. Apa, teruk sangat ke saya ni?”
Alamak! Dia dengar ke? Alisa tersengih-sengih. Wajah segak Nazim dikerling. Tiada lagi rambut yang kusut dan kembang seperti sarang tebuan. Tiada lagi misai panjang yang hampir menutup mulutnya dan tiada lagi bau badan yang menyengat seperti bangla. Nazim kini kelihatan terlalu sempurna dipandangan matanya.
“ Sorry, tak sengaja. Papa, lepas ni papa tak payahlah upah bodyguard untuk jaga Lisa lagi ek. Lisa dah letih la asyik berlari je semata-mata nak elak daripada bodyguard Lisa.”
Tengku Adnan ketawa besar. Dia memang sudah maklum akan perkara itu. Dah banyak kali Alisa melarikan diri dari bodyguard yang diupahnya. Bukannya apa, dia cukup bimbang dengan keselamatan Alisa. Suatu ketika dahulu Alisa pernah dijadikan tebusan ketika berada di sebuah bank. Memang anaknya itu hebat dalam seni persilatan namun masih tidak mampu menandingi kehebatan bersenjata seperti pistol. Agaknya Alisa baru saja mahu membuka langkah, dia sudah mati ditembak. Tengku Adnan bimbang perkara seperti itu akan berlaku lagi. Tidak sanggup membayangkan yang dia akan kehilangan Alisa. Alisalah satu-satunya harta yang dia ada. Selain itu dia juga mahu memastikan Alisa datang ke setiap blind date yang diaturkan olehnya. Dengan adanya bodyguard, sukarlah Alisa mahu meloloskan diri.
“ Papa pun rasa Lisa dah tak perlukan bodyguard lagi sebab lepas ni Lisa dah ada ‘Encik Bodyguard’ yang akan jaga Lisa. Jadi papa tak perlu bimbang lagi.”
Alisa mengerling Nazim. Tahu siapa ‘Encik Bodyguard’ yang dimaksudkan. Nazim dan Alisa mengucap syukur dalam hati. Terima kasih kepada bodyguard-bodyguard Alisa. Kerana merekalah Alisa dan Nazim bertemu.
Demi semua yang aku jalani bersamamu
Kuingin engkau jadi milikku
Ku ingin kau disampingku
Tanpa dirimu ku hanya manusia tanpa cinta
Dan hadiramu yang bisa membawa syurga dalam hatiku
Ku ingin engkau menjadi milikku
Aku akan mencintaimu
Menjagamu selama hidupku dan
Aku kan berjanji hanya kaulah yang kusayangi
Ku akan setia disini menemani…
Selamaku masih bisa bertahan
Selamaku masih bisa bernafas
Selama Tuhan masih mengizinkan
Ku hanya selalu menjagamu
“ Lisa sayang abang…” Alisa melentokkan kepalanya dibahu Nazim. Terpegun dia mendengar suara Nazim mengalunkan lagu sambil memetik gitar. Nazim memang ada bakat dalam bidang nyanyian.
“ Abang pun sayang isteri abang yang comel ni. Tak sangkakan kita boleh berkahwin secepat ini.”
“ Inilah yang dikatakan jodoh. Apa pun Lisa sangat bersyukur walaupun kita bertemu dalam masa yang sangat singkat, mungkin sudah tersurat jodoh antara kita berdua. Lisa terima abang dalam hidup Lisa sepenuh hati.” Alisa mengenggam erat jari-jemari Nazim.
“Melihat Lisa, abang mula memikirkan tentang masa depan, Melihat Lisa, abang mula fikirkan tentang kebahagiaan. Abang ingin terus memiliki Lisa. Abang nak habiskan sepanjang hidup abang bersama Lisa.” Nazim mengulangi semula kata-kata yang pernah dilafazkan kepada Alisa tidak lama dahulu. Kerana cintanya yang mendalam pada Alisa, dia berusaha mengubah nasib diri. Walaupun Alisa sudah sah menjadi isterinya, dia tidak mahu dikatakan menumpang senang atas kekayaan Alisa. Kerana Alisa, dia berusaha mencipta kebahagiaan dan Alhamdulillah kebahagiaan yang dicari sedang berada di dalam genggamannya.
“Terima kasih kerana abang sudi terima Lisa, terima segala kekurangan Lisa. Lisa berjanji hanya abang saja dihati Lisa. Lisa juga akan sentiasa berdoa semoga kita akan bahagia selama-lamanya.”
“ Dan papa pun akan selalu berdoa supaya papa akan cepat-cepat timang cucu. Papa dah tak sabar sangat ni!” sampuk Tengku Adnan. Entah bila dia muncul pun Nazim dan Alisa tidak sedar.
“ Papa!”
“ Papa jangan risau. Zim akan berusaha keras untuk beri papa cucu. Berapa pun papa minta, Zim akan tunaikan.”
“ Apa, abang ingat Lisa ni kilang buat anak ke? Jahatnya!” Terus dicubit perut Nazim. Nazim dan Tengku Adnan ketawa besar. Gembira hati Tengku Adnan melihat anak tunggal kesayangannya tersenyum bahagia. Tiada apa yang melegakan hati tuanya melainkan melihat anak yang dibesarkan selama ini tersenyum gembira seperti ini. Selepas ini tidak perlulah dia bersusah payah mengatur blind date untuk Alisa. Seakan terlepas bebanan dari bahunya. Tengku Adnan mendongak ke langit. Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit begitu menggamit perhatiannya. Nora, abang lega sangat sekarang. Impian kita nak tengok Lisa berkahwin sudah termakbul. Sekarang ni kita tunggu saja bakal cucu kita ya. Abang dah tak sabar nak tengok muka bakal cucu kita. Lepas ni abang dah tak sunyi lagi sebab abang dah ada Lisa, Nazim dan bakal cucu kita. Tengku Adnan menyeka air mata bahagia. Wajah arwah isteri kesayangannya mula bermain diruang matanya. Syukur Alhamdulillah…
TAMAT

No comments:

Post a Comment