SUAMI DUNIA AKHIRAT
Hatinya bagaikan ingin meletup. Dia sesak nafas. Hampir rebah tubuhnya. Air mata sudah mula bergenang namun ditahan agar tidak jatuh menyembah bumi. Segera mulutnya terkumat kamit mengucap kalimah suci,memohon kekuatan dari yang Maha Esa.
“ Tak banyak yang I minta. I hanya mahu Andrian. Itu saja.” Maya menyandar tubuhnya dikerusi sambil berpeluk tubuh. Matanya tidak lepas memandang wajah tenang di hadapannya. Dia tahu wanita di hadapannya sedang berperang dengan perasaan. Dia tahu hati wanita itu dalam kehancuran. Namun dalam keadaan begini, Maya harus mementingkan diri sendiri.
“ I dengar you ni 'isteri solehah', terlalu taat pada suami. Jadi I rasa tak ada masalah kalau suami you ingin bernikah satu lagi. Lagipun I sedang hamilkan anak Andrian. I tak mahu anak ini dilahirkan tanpa bapa. Mana I nak letak muka kalau orang tahu yang I sedang mengandungkan anak luar nikah? Suka atau tidak, Andrian tetap perlu bertanggungjawab terhadap I sebelum perut I ni membesar..” Sinis kedengaran suara itu menampar gegendang telinga Annisa. Langsung tidak rasa bersalah dengan kata-katanya.
Annisa mengangkat muka. Sedaya upaya dia mengukir senyuman manis untuk Maya. Kalau perempuan lain, memang dah lama Maya kena ganyang. Masa buat tak beringat. Bila dah disahkan hamil anak luar nikah baru nak kelam kabut minta dipertanggungjawabkan.
“ Abang Andrian cakap apa?”
“ Dia memang nak bertanggungjawab. Tapi dia takut nak berterus terang dengan you. Annisa, you izinkanlah Andrian berkahwin lain. You sendiri tahukan yang Andrian dah lama nak kan anak. You tak mampu nak bagi dia anak. Hanya I yang mampu. Sampai bila you nak halang keinginan dia. Dia juga perlukan zuriat untuk menyambung generasinya. Sampai bila you nak sekat keinginan Andrian. You kena sedar yang yang you mandul, Annisa! You takkan mampu bagi Andrian anak sampai bila-bila. I yang sedang mengandungkan zuriat Andrian. I yang lebih berhak terhadap dia!” Suara Maya kedengaran lantang dipendengarannya. Annisa tahu Maya tidak akan sesekali mengalah.
Air mata Annisa menitik di atas telapak tangan. Sungguh, dia sudah tidak mampu membendung kesedihannya. Dilepaskan sepuas-puas hatinya.
“ YA ALLAH, apakah aku tidak cukup baik untuknya? Apakah aku antara mereka yang masih gagal menunaikan kewajipanku sebagai isteri sehingga suamiku berpaling tadah? Adakah aku yang bersalah? Adakah kerana aku tidak mampu memberi zuriat kepada suamiku menjadikan aku seorang isteri yang gagal? Ampunkanlah aku YA ALLAH. Hinanya aku kerana gagal menunaikan kewajipanku. Hinanya aku kerana tidak mampu menjadi isteri yang terbaik untuk suamiku. Ampunkan aku...”
Teresak-esak Annisa melepaskan lelah di dada. Di hadapan Maya sebentar tadi, dia berusaha untuk kelihatan tenang dan kuat. Dia tidak mahu Maya melihat kelemahan hatinya. Hanya kepada Yang Maha Esa tempatnya mengadu. Hanya pada Dia tempat Annisa meluahkan rasa hati.
“YA ALLAH... YA ALLAH...YA ALLAH... kuatkanlah hatiku untuk menempuhi semua ini. Jangan biarkan aku ketandusan. Jangan biarkan aku dalam kehancuran. Jadikan aku hambaMU yang sentiasa redha dengan setiap ketentuanMU. YA ALLAH... tolonglah kuatkan aku. Kuatkan hatiku YA ALLAH...”
Menitik air mata Annisa jatuh membasahi bumi. Hancur hatinya namun dia pasrah dan redha. Mungkin khilafnya sehingga si suami yang pernah berjanji sehidup semati dengannya sanggup berpaling tadah.
**
Merdu suara Annisa mengalunkan ayat-ayat suci al-quran. Segala kesedihan, segala kesengsaraan ditolak ke tepi. Hatinya diserahkan seratus peratus pada Yang Maha Esa. Dia mahukan kedamaian dan ketenangan jiwa. Dia harus kuat dan redha dengan setiap perancangan ALLAH. Dia yakin pasti akan ada cahaya yang menantinya pada masa hadapan.
“Abang?” Annisa melemparkan senyuman manis kepada Andrian yang sedang duduk dibirai katil. Telekung dibuka lalu disidai diampaian. Annisa menghampiri Andrian. Tangan dihulurkan lalu tangan Andrian dikucup penuh kasih.
“ Bila abang balik? Nisa tak perasan abang masuk bilik tadi. Maafkan Nisa.” keluh Annisa. Penuh rasa bersalah.
“ Abang dah solat?”
Andrian menggeleng.
“ Nisa ingatkan abang tak balik. Sebab tu Nisa solat dulu. Kalau tak, kita boleh berjemaah lagi hari ni. Abang pergilah solat dulu. Nanti Nisa buatkan sarapan. Abang pun kejap lagi nak pergi kerja.”
Andrian tidak menjawab. Dia bingkas bangun lalu melangkah ke bilik air. Annisa hanya memandang langkahan kaki Andrian yang semakin menghilang.
“ Nisa isteri abang... bakal bidadari di syurga. Bakal ibu kepada zuriat abang, jadilah isteri yang solehah, isteri yang sentiasa diberkati ALLAH. Setiap tindakan dan langkahan Nisa, sentiasa dalam redha abang. Nisa isteri yang abang cintai, yang sangat abang sayangi. Abang berjanji dengan nama ALLAH, tak akan sesekali abang menduakan cinta kita, tak akan sesekali abang sakiti Nisa. Tak akan sesekali abang benarkan air mata terluka mengalir dipipi isteri abang. Abang janji akan menjadi pelindung Nisa di dunia dan akhirat. Abang janji...”
Memori lalu terbias di kotak fikiran Nisa. Janji yang terlafaz saat mereka sah menjadi suami isteri. Janji yang terlafaz hampir 4 tahun dahulu. Janji yang ternyata semakin hari semakin pudar ditelan masa-masa yang berlalu. Janji yang Annisa sendiri tidak pasti sama ada suaminya masih ingat atau tidak. Lupakah abang janji abang pada Nisa.
“ Abang, mari makan. Nisa dah masakkan nasi lemak kesukaan abang.” Penuh senyuman Annisa menanti Andrian di meja makan. Dalam hati Annisa memuji ketampanan suaminya yang kemas berkemeja biru laut dan berseluar slack hitam. Tidak mustahil suaminya menjadi kegilaan wanita di luar sana. Annisa percayakan Andrian, percaya yang Andrian tidak akan melayan gadis-gadis di luar sana. Dia percaya setiap langkahan kaki Andrian, Andrian tidak akan lupa status yang disandang.
Langkah Andrian terhenti seketika, berkira-kira untuk melangkah ke arah Annisa atau pun pergi saja tanpa berkata apa-apa. Melihat senyuman Annisa, Andrian rasa bersalah untuk mengecewakan isterinya itu lalu dengan langkah yang berbelah bagi, Andrian melangkah menghampiri Annisa.
Tiada langsung cacat cela dengan layanan Annisa. Makan minum Andrian dijaga. Masakan Annisa memang tiptop sehingga membuatkan Andrian menelan air liur setiap kali teringat masakan Annisa. Annisa perempuan yang cukup sempurna untuknya. Tiada apa pun yang kurang.
“ Malam tadi sepanjang malam Nisa tunggu abang balik. Nisa call tapi abang tutup telefon.”
Andrian berhenti menyuap. Terasa berpasir nasi lemak yang melepasi anak tekaknya. Serta-merta seleranya menghilang.
“ Nisa bukan apa, Nisa cuma risaukan abang. Abang tak pernah tak balik ke rumah. Sepanjang malam Nisa tunggu abang...”
Andrian rasa tertekan. Semakin Annisa bersuara, semakin Andrian rasa bersalah.
“ Abang pergi kerja dulu.” Andrian bingkas bangun. Seleranya betul-betul sudah mati. Bukannya masakan Annisa tak sedap tapi disebabkan rasa bersalah yang teramat sangat menyebabkan dia tiada selera mahu menjamah apa-apa.
“ Abang!”
Langkah Andrian terhenti lagi. Dia berpaling. Terpinga-pinga dia apabila Annisa menghulurkan tangan.
“ Salam...”
Annisa mencapai tangan Andrian lalu dikucup lembut.
“ Maafkan segala kekurangan Nisa selama ini...” ucap Annisa syahdu. Mengharapkan pengertian Andrian. Namun Andrian ternyata hanya mampu membisu sehinggalah kelibat kereta Andrian hilang dari pandangan. Akhirnya air mata yang ditahan-tahan dari tadi luluh membasahi bumi. Hancur hatinya melihat reaksi dingin Andrian. Abang dah tak sayangkan Nisa ke? Kalau sebelum-sebelum ni setiap kali Nisa masak, abang akan peluk Nisa tanda abang berterima kasih kerana Nisa sanggup bersusah payah masakkan untuk abang. Tapi tadi, sedikitpun tiada sentuhan abang ditubuh ini. Setiap hari sebelum abang pergi kerja, Nisa akan cium tangan abang dan abang akan kucup dahi Nisa tapi tadi, usahkan ciuman, nak pandang Nisa pun abang seakan tak ada hati lagi. Kenapa semudah itu hati abang beralih arah? Sampai hati abang...
**
“ I tak kira. You kena bertanggungjawab pada I. Yang dalam perut ni anak you. Bukan anak orang lain!” Maya sudah membentak. Ringan saja tangannya mahu melayang ke muka Andrian namun disabarkan hatinya. Dia tidak mahu terlalu mengikut perasaan. Bimbang Andrian akan berubah fikiran.
“ I akan bertanggungjawab. Tapi bagi I masa.” keluh Andrian. Fikirannya yang sudah sedia kusut semakin kusut dengan desakan Maya dari hari ke hari. Bukannya dia tidak mahu bertanggungjawab. Dia akan bertanggungjawab cuma dia perlukan sedikit masa.
“ Masa untuk apa? Berapa banyak masa you nak ambil? Sampai I dah terberanak baru you nak bertanggungjawab?”
“ Maya!”
“ Dulu sebelum you dapat I, apa yang you dah janjikan pada I? Kenapa bila benih you dah hidup dalam perut ni, you lupa pada janji-janji you?”
“ I tak lupa, Maya. I ingat janji I. I akan tunaikan janji I. Tapi I hanya minta masa untuk berterus terang dengan Annisa. Itu saja.”
Maya tersenyum sinis.
“ Sebelum you bertindak, I sudah bertindak dulu. Sekarang you tak perlu risau apa-apa lagi.”
Andrian terngadah. Dadanya bergetar hebat. Annisa dah tahu? Annisa dah tahu kecurangan yang dia lakukan? Andrian meraup wajahnya. Pasti hati isterinya sudah hancur lumat. Teringat reaksi Annisa pagi tadi. Tulus dan polos wajah itu seakan tiada apa-apa yang terjadi. Tidak disangka isterinya itu sedang menanggung bebanan perasaan yang maha berat.
“ Maafkan segala kekurangan Nisa selama ini...” Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata Annisa pagi tadi. Langsung tidak terlintas dibenaknya yang Annisa sedang bergelumang dengan perasaan. Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang...
“ Hello, ada orang tak ni? I ni tengah bercakap dengan tunggul ke?”Maya merengus geram. Penat mulutnya pot pet itu ini tapi rupa-rupanya Andrian sedang asyik berkhayal.
“ I nak balik.” Terus Andrian bingkas meninggalkan Maya yang sedang terjerit-jerit memanggil namanya.
**
“ Nisa...”
Andrian mengusap lembut wajah Annisa yang sedang lena di atas tikar sejadah. Ada kesan air mata di wajah Annisa. YA ALLAH, apa yang dah aku lakukan? Apa yang aku dah buat ni? YA ALLAH...
“ Abang? Bila abang balik? Maaf, Nisa tertidur.”
Annisa berpisat-pisat. Tidurnya rasa terganggu apabila terasa ada tangan sedang mengelus lembut mukanya. Buka saja mata, wajah Andrian yang terpampang. Wajah yang selalu menghiasi hari-harinya. Wajah yang setiap saat dirindui.
“ Abang rindukan Nisa. Rindu sangat.” Tubuh Annisa didakap erat. Air mata sudah merembes keluar.
“ Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang. Maafkan abang kerana telah khianati cinta kita.”
Annisa memejam rapat matanya. Kesedihan sudah tidak mampu dibendung. Tadi dia sudah puas menangis, mengadu pada YANG SATU. Hanya itu saja cara untuk meredakan hatinya yang terlalu terluka.
“ Nisa yang patut minta maaf pada abang. Nisa tak jalankan tanggungjawab dengan baik. Nisa tak jalankan kewajipan Nisa sebagai isteri abang. Nisa...”
“ Tak... Nisa isteri abang yang terlalu baik. Nisa isteri solehah. Nisa penuhi setiap keinginan abang. Nisa isteri yang taat pada abang. Nisa tak pernah sakitkan abang. Nisa tak pernah lukakan hati abang. Nisa isteri abang yang terlalu sempurna, terlalu sempurna untuk abang.” Andrian menggenggam erat tangan Annisa. Pipi Annisa dicium bertalu-talu. Sayangnya pada Annisa tiada tolok bandingnya lagi. Annisa wanita yang terlalu sempurna.
Annisa mengangkat muka mencari sinar mata Andrian. Mata itu basah dan bengkak menentang sinar mata Andrian. Terlalu jelas kelukaan yang sedang ditanggung Annisa.
“ Nisa masih tak sempurna untuk abang. Sampai sekarang Nisa masih tak mampu nak beri zuriat pada abang. Nisa isteri abang yang terlalu banyak kekurangan. Maafkan Nisa, bang.” Andrian memeluk Annisa seeratnya. Kalau hati Annisa hancur, hati dia juga turut hancur. Memang dia inginkan zuriat walaupun sudah acap kali dia mengatakan pada Annisa yang dia tidak kisah jika tiada anak. Tak ada anak pun tak apa asalkan Annisa setia dan taat disisinya, itu sudah cukup membahagiakan. Namun semakin hari keinginannya semakin tidak dapat dibendung sehinggakan dia tersilap langkah dan percaturan. Betapa lemah iman yang terpahat didada sehingga tidak mampu menepis godaan syaitan. Kepolosan wajah Annisa terus hilang dikotak fikirannya. Kesetiaan Annisa terus hambar. Wajah Annisa yang diagungkan selama ini terus tenggelam. Hatinya sedang asyik melayan godaan syaitan dan untuk kesekian kalinya syaitan bersorak gembira apabila seorang lagi anak Adam jatuh ke perangkapnya.
“ Nisa, abang berdosa pada Nisa. Ampunkan abang. Abang... abang...”
“ Bukan pada Nisa abang patut minta ampun tapi pada ALLAH. Mintalah ampun pada yang Maha Esa. Nisa juga insan lemah yang banyak kekurangan dan sentiasa berbuat dosa. Abang, kita sama-sama dah janjikan yang kita akan bersama-sama berusaha menuju ke JannahNYA. Marilah kita sama-sama memohon keampunan dariNYA. Nisa minta maaf kerana Nisa telah buat abang terjebak hingga melakukan perkara yang dimurkai ALLAH. Kalaulah Nisa mampu lahirkan zuriat untuk abang, tentu perkara macam ni tak akan terjadi.” Annisa tersedu. Semakin lebat air matanya gugur. Hanya Tuhan yang tahu hati dah perasaannya. Selama beberapa hari dia duduk berteleku memikirkan perjalanan hidupnya dan akhirnya dia perlu bulat dengan keputusan yang sudah dibuat.
Andrian semakin rasa terhukum. Dia yang berdosa. Dia yang lupa diri. Dia yang bersalah tetapi Annisa pula menyalahkan diri sendiri dengan apa yang telah terjadi. YA ALLAH, sesungguhnya aku adalah manusia yang tak tahu bersyukur dengan kurniaanMU. Aku dikurniakan isteri yang terlalu sempurna dan taat seperti Annisa tetapi aku tetap tidak tahu bersyukur malah aku menyakiti isteri yang sepatutnya aku lindungi dan hargai. YA ALLAH betapa hinanya aku sebagai hambaMU.
“ Nisa dah buat keputusan. Nisa rela dimadukan.”
Andrian tergamam. Sungguh tidak disangka yang Annisa sanggup membuat keputusan yang bakal merobek hatinya sendiri.
“ Abang, nikahilah Maya. Halalkanlah ikatan antara kalian. Lagipun Maya sedang hamilkan anak abang, zuriat abang. Abang perlu bertanggungjawab pada dia.”
“ Tapi Nisa... abang...” Kelunya lidah Andrian untuk bersuara. Nafasnya terakan tersekat-sekat. Mudahnya Annisa membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Kalau perempuan lain, bermati-matian akan mempertahankan hubungan dan tidak sanggup dimadukan tetapi Annisa... Andrian tak tahu apa yang ada difikiran Annisa sekarang.
“ Kalau abang mahu, Nisa boleh pinangkan Maya untuk abang.” Annisa berusaha untuk mengorak senyuman manis untuk Andrian. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan kelukaan hatinya. Tak apalah asalkan suaminya bahagia. Untuk melihat suaminya tersenyum, dia sanggup berkorban apa saja.
Hari semakin berlalu. Annisa cuba sedaya upaya untuk mengukir senyuman. Kacak. Tidak dinafikan suaminya memang kacak. Dengan berbaju melayu teluk belanga dan bersampin, suaminya tetap kelihatan segak seperti waktu dahulu. Tidak mustahillah Maya masih tergila-gilakan suaminya.
" Nisa...kenapa diam ni?" Andrian menegur. Annisa kelihatan leka membetulkan butang baju melayunya. Annisa mengangkat muka. Mata bertentang mata. Lama Andrian menatap mata itu. Mata yang telah memikat hatinya. Andrian suka sangat melihat mata Annisa. Namun mata itu kelihatan redup bagaikan menyimpan seribu kedukaan.
Annisa mengukir senyuman. Senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
" Nisa bertuah ada suami handsome macam abang..." ujar Annisa perlahan. Ada getar pada suaranya. Air mata yang ingin mengalir cuba ditahan. Tidak mahu mencemarkan hari bahagia suaminya. Ya, sebentar lagi Andrian akan menjadi suami Maya. Segalanya akan berubah. Andrian bukan miliknya seorang. Dia perlu berkongsi kasih. Segala-galanya perlu dibahagi dua kini.
" Nisa..."
Andrian memaut dagu Annisa supaya isterinya itu menatap wajahnya. Bening yang redup dan tenang, sejuk mata memandang.
" Abang pun bertuah ada isteri macam Nisa. Cantik dan menawan. Wajah inilah yang abang selalu rindui, tiap masa tiap saat. Nisa isteri yang terlalu sempurna untuk abang." Manisnya kata-kata Andrian. Agaknya kerana kata-kata manis seperti inilah Maya semakin jadi gila bayang dengan suaminya. Annisa memejam matanya rapat, Nisa bukan isteri yang sempurna. Kalau Nisa isteri yang terbaik untuk abang, abang tak akan berpaling kasih. Abang tak akan menduakan Nisa.
" Nisa harap abang tak akan lupakan Nisa."
" Kenapa Nisa cakap macam tu? Nisa ingat bila abang bersama Maya, abang akan lupakan Nisa ke? Nisa isteri abang, selamanya akan jadi isteri abang. Abang janji abang tak akan lupakan Nisa. Abang janji abang tak akan abaikan Nisa. Abang janji..."
Annisa meletakkan jari telunjuknya pada bibir Andrian. Tidak mahu Andrian terus melafazkan janji-janji yang Annisa sendiri tidak pasti sama ada Andrian mampu tunaikan atau pun tidak. Dulu pun abang selalu berjanji takkan menduakan Nisa, berjanji akan setia pada Nisa tapi akhirnya abang memungkiri semua janji. Nisa tak mahu abang terus melafazkan janji dan akhirnya Nisa sendiri yang akan tersakiti.
" Tahniah...Nisa doakan abang bahagia selalu dengan Maya. Nisa sentiasa mendoakan semuanya berjalan dengan lancar." Annisa bersuara sayu sambil memakaikan songkok di kepala Andrian. Kemudian tangan Andrian dikucup lembut. Hanya TUHAN saja yang tahu betapa hancur hatinya melihat Maya tersenyum bahagia disamping Andrian.
Annisa memeluk erat baju Andrian. Sudah seminggu dia 'berpisah' dengan suaminya. Andrian berbulan madu di luar negara bersama Maya. Annisa tidak dapat membayangkan bagaimana Maya tersenyum gembira disamping Andrian. Tidak dapat membayangkan bagaimana merpati dua sejoli itu sedang meniti saat-saat bahagia.
Air mata semakin lebat mengalir. Semakin erat Annisa memeluk baju Andrian.
" Nisa rindukan abang..."
**
" You nak ke mana tu?" Suara Maya lantang kedengaran. Andrian yang baru saja ingin melangkah keluar terus terhenti tindakannya.
" I nak balik rumah Nisa."
" I tak benarkan you ke sana. You sepatutnya duduk di rumah, jaga I."
" Dah dua minggu I tak balik jenguk Nisa. Tiap kali turn dia, you mesti tak benarkan I balik. You nak I jadi suami tak adil ke?" Suara Andrian sudah mendatar. Geram juga dia dengan sikap Maya yang pentingkan diri sendiri. Dahulu masa mula-mula mereka bernikah, Maya sendiri sudah berjanji pada Annisa yang dia mahu Andrian berlaku adil. Isnin, selasa dan rabu Andrian akan bermalam di rumah Maya. Hari khamis, jumaat dan sabtu Andrian akan bermalam di rumah Annisa manakala setiap ahad, Andrian akan memilih dua kali Ahad di rumah Annisa dah dua kali ahad di rumah Maya. Pada mulanya semuanya berjalan dengan lancar tetapi kemudian masuk saja bukan ketiga, Maya sudah mula menunjukkan sikap sebenarnya yang suka memerintah. Maya mahu setiap kata-katanya dituruti Andrian. Andrian pula bagaikan dicucuk hidung hanya mendengar dan menurut. Lagipun Andrian sudah penat bertengkar dengan Maya. Kadang-kadang disebabkan perkara kecil saja, mereka sudah bertengkar hebat lagi-lagi bab Annisa. Pantang benar Maya tiap kali mendengar nama Annisa, pasti suhu kemarahannya akan meningkat. Kalau boleh jangan sebut nama Annisa di hadapannya.
" I tak kira. Malam ni you kena bermalam di sini. I tak benarkan you balik ke sana. You kena ingat yang I mengandung sekarang. Kalau apa-apa jadi pada kandungan I, siapa yang nak bertanggungjawab?" Itulah alasan Maya tiap kali dia ingin menghalang Andrian daripada bermalam di rumah Annisa. Tak habis-habis mempergunakan kandungannya untuk menyekat pergerakan Andrian dan akhirnya Andrian pasti akan mengalah.
" Annisa juga perlukan I, Maya. Tak boleh ke you mengalah sikit. Sampai bila you nak halang I daripada berjumpa Nisa? Dulu you jugak beria-ia berjanji pada Nisa yang you akan pastikan I berlaku adil. Tapi sekarang kenapa you sendiri yang mungkir janji?" Andrian masih berdiplomasi. Lagipun hatinya terlalu merindui Annisa. Apa khabar agaknya Annisa. Tidak pernah dia meninggalkan Annisa terlalu lama seperti itu. Rindunya membuak-buak namun melihat wajah tegang Maya dengan perut yang semakin memboyot membuatkan hati Andrian berbelah bagi sama ada mahu balik ke rumah Annisa atau bermalam saja di rumah Maya. Dalam hati dia bimbang juga keselamatan Maya. Kalau apa-apa terjadi pada Maya dan kandungannya, pasti dia akan menyalahkan dirinya seumur hidup.
" Itu dulu. Manusia mudah berubah. Sekarang you suami I dan I tak mahu berkongsi suami dengan orang lain!" Lantang Maya menjerit menyebabkan Andrian mengetap kuat bibirnya. Lupakah Maya yang dia yang perampas sebenarnya. Lupakah Maya yang dia sendiri penyebab Andrian beralih arah. Lupakah Maya yang sebelum ini siapa yang bertakhta di hati Andrian?
" You lupa ke Maya yang Annisa tu isteri I. Isteri pertama I. Annisa tu perempuan pertama yang bertakhta dihati I sebelum you. Annisa yang lebih berhak terhadap I."
" Annisa, Annisa, Annisa! I jelak dengar nama perempuan tu! You ingat dia tu baik sangat ke? Isteri solehah konon. Belakang you, you tak tahu perangai dia tu macam mana. You yang bodoh sangat. Percaya sangat dengan betina sundal tu!"
" Watch your mouth, Maya! You memang melampau. Kalau you panggil Annisa betina lagi, i tampar mulut you. Kesabaran I ada hadnya. Jangan sesekali mencabar kesabaran I. Annisa isteri I. Isteri yang I muliakan. I tak nak dengar you cuba buruk-burukkan Annisa lagi. Faham?!"Melengking kuat suara Andrian. Ternyata kesabarannya sudah teruji. Pantang dia kalau Annisa diburuk-burukkan. Annisa terlalu mulia untuk dipanggil betina sundal! Dengan langkah pantas Andrian terus mendaki anak tangga menuju ke bilik. Dia bimbang kesabarannya akan semakin menipis dan dia takut penampar sulungnya akan melayang ke muka bersih Maya.
Maya mengetap bibir sambil menghentak kakinya. Geram tak terkata. Cemburunya membuak-buak. Nampak sangat Andrian melebihkan Annisa. Annisa, Annisa, Annisa. Perempuan tu memang tak guna!
**
Annisa mengelap bibirnya. Dadanya yang berdegup kencang sebentar tadi mula reda. Nafasnya mula teratur. Nafas panjang ditarik perlahan. Dengan lemah, dia melabuhkan punggung dibirai katil. Mata dipejam untuk seketika cuba melawan rasa tidak selesa diperutnya. Entah apa yang dia silap makan. Sudah tiga hari dia muntah-muntah sehingga naik longlai badannya. Nak pergi klinik, rasa tak larat sangat dia nak memandu. Nak maklumkan pada Andrian, dia bimbang akan menganggu suaminya itu. Lagipun suaminya sedang fokus kepada Maya dan bayi dalam kandungannya jadi Annisa tidak mahu menambahkan beban suaminya lagi.
Annisa mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi. Berkerut dahinya melihat nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon.
" Assalamualaikum Annisa."
" Waalaikumsalam abang!"
" Nisa sihat?"
" Alhamdulillah. abang?" Gembira tidak terkata saat mendengar suara Andrian dihujung talian. Langsung terlupa sakitnya sebentar tadi.
" Sihat. Abang rindu Nisa..." Annisa mengetap bibir. Sungguh dia juga sangat merindui suaminya.
" Abang balik jumpa Nisa tak malam ni?" Annisa sudah mengharap. Sudah hampir dua minggu Andrian tidak menjenguk dia. Ligat fikiran Annisa merangka-rangka menu masakan kegemaran Andrian. Tentu Andrian sedang merindui air tangannya.
" Malam ni abang tak dapat balik jumpa Nisa." Serba salah Andrian apabila tidak kedengaran suara Annisa di hujung talian. Yang kedengaran hanyalah hembusan nafas yang dilepaskan. Dia tahu Annisa kecewa. Mereka tidak pernah berpisah sampai begini lama. Sehari tak jumpa pun Andrian dan Annisa sudah saling merindui. Inikan pula berpisah selama dua minggu lamanya.
" Nisa..." Sungguh Andrian rasa sangat bersalah. Hatinya sudah meronta-ronta untuk bertemu Annisa namun memikirkan Maya yang akan memberontak, terpaksa Andrian menahan rasa rindu yang semakin bergelodak.
" Tak apalah bang... " keluh Annisa. Apa boleh buat. Andrian sudah ada tanggungjawab lain. Dengan keadaan Maya sebegitu, Maya memang patut diberi perhatian yang lebih.
" Abang janji esok abang akan balik jumpa Nisa ya."
" Aminn..."
Annisa semakin mengharap. Andrian bukan jenis memungkiri janji namun dari hari ke hari Andrian tidak juga muncul. Hanya telefon saja yang menghubungkan mereka.
" Cik Annisa, busy sangat ke?"
Annisa yang sedang tekun meneliti rekaan terkini pakaian muslimah mengangkat muka. Terbias wajah sahabat baiknya, Jannah.
" Busy sikit cik Jannah. Kenapa?"
" Ada orang nak jumpa awak dekat luar tu."
" Siapa?"
" Andrian."
Terus terhenti pergerakan tangan Annisa yang sedang asyik melakar. Bulat matanya memandang Jannah.
" Andrian datang?" Berdegup kencang jantungnya saat melihat Jannah mengangguk.
" Betul?" Jannah mengangguk lagi. Jannah mengerutkan dahinya. Amboi bukan main teruja Annisa mahu bertemu dengan suaminya. Macam dah lama sangat tak berjumpa padahal hari-hari muka itu yang ditatap. Jannah menggeleng sambil tersenyum dengan gelagat Annisa.
" Kenapa teruja sangat ni? Hari-hari jumpa pun masih rindu lagi?" tegur Jannah yang melihat Annisa kelam kabut mengemas mejanya. Annisa hanya mampu melemparkan senyuman. Jannah tak tahu apa-apa dan Annisa pun memang seorang yang sangat perahsia. Annisa lebih suka memendam di dalam hati. Annisa sentiasa bersikap tenang sehinggakan Jannah merasakan Annisa seorang wanita yang bertuah kerana tidak mengalami apa-apa pun masalah dalam hidup. Tidak pernah sekali dia melihat Annisa mengeluh apatah lagi bersedih. Wajah itu sentiasa tenang. Sejuk mata sesiapa saja yang memandang. Annisa pun tidak banyak bercerita tentang Andrian malah Andrian sudah berkahwin lain pun Annisa tidak pernah buka cerita pada sesiapa. Jannah hanya mengenali Andrian sebagai suami kepada Annisa dan dia juga tahu mereka pasangan yang sangat bahagia. Sepanjang empat tahun perkahwinan Annisa dan Andrian, tak pernah sekalipun Jannah mendengar Annisa mengadu apa-apa tentang rumahtangganya.
" Abang!"
Ikutkan hati mahu saja Annisa memeluk Andrian untuk melepaskan rindu namun memikirkan mereka berada di butik, terus dibatalkan niatnya. Tak mahu dikatakan lepas laku dan menjadi bahan kutukan pekerja dan pelanggan yang berada di butiknya.
" Nisa sihat? Kenapa makin kurus ni?" Timbul riak kerisauan di wajah Andrian. Baru tiga minggu mereka tidak bertemu, Annisa sudah kelihatan cengkung. Nampak kelihatan tidak bermaya.
Annisa melemparkan senyuman manis.
" Nisa rindu abang. Rindu sangat. Kenapa datang tak bagitahu?"
" Saja nak buat surprise. Abang nak bawa Nisa pergi makan. Jom."
Annisa tersenyum panjang sambil mengekori langkah Andrian.
**
Maya menghempas beg tangannya ke lantai. Dadanya turun naik menahan kemarahan yang teramat sangat. Dia menjerit sekuat hati melepaskan kemarahan. Bergema kuat suaranya memenuhi ruangan rumah.
" Sayang, jom teman I pergi lunch nak tak? I laparlah." Maya merengek manja di hujung talian.
" Sorry Maya. I tak dapat nak teman you hari ni. I ada lunch appointment dengan client."
Maya mendengus geram.
" Tak boleh cancelkan ke? I teringin nak makan ikan bakar."
" Appointment ni penting sangat. I tak boleh nak cancel last minute."
" You memang tak sayangkan I ke? Tak sayangkan baby kita ni?"
" Maya...bukan macam tu. I memang betul-betul tak boleh cancelkan appointment tu. Penting sangat. Esok kita lunch sama-sama ya."
Macam-macam alasan yang Andrian berikan. Penting sangat ke client tu sampai Andrian sanggup mengabaikan bayi dalam kandungannya. Dek kerana terlalu geram, terus Maya memutuskan talian.
" Huh, client la sangat!" Maya mendengus geram. Apa yang dilihatnya tadi sangat membuatkan kemarahannya membuak. Berani Andrian menipu dia. Mesra sangat dia melihat Andrian dan Annisa sampai makan pun bersuap-suap. Tak guna betul!
" Betina tak guna!!!" Maya menjerit lagi melepaskan geram. Membuak-buak rasa benci terhadap Annisa. Annisa, Annisa, Annisa. Apa lebihnya betina tu? Apa kurangnya aku? Betina tu memang dah melampau. Kau tunggulah nasib kau nanti. Kau tunggu saja, Annisa! Maya mengetap-ngetap bibirnya. Dia terus mencapai ganggang telefon. Tangannya ligat menekan papan kekunci. Nombor seseorang didail. Dia mahu mengadu pada seseorang. Biar padan muka Andrian dan Annisa nanti. Mereka tu memang patut kena sembur!
" Mummy...."
**
" Perempuan mandul. Apa lagi yang kau nak hah? Tak puas lagi kau rampas Andrian dari kami, sekarang kau nak halang Andrian balik jumpa Maya pulak?" Annisa mengurut dadanya. Salam tak, apa tak tiba-tiba saja dia kena sembur.
" Assalamualaikum mummy. Mummy sihat?" sapa Annisa dengan lemah lembut. Andrian yang baru saja ingin menghidupkan enjin kereta terus menoleh ke arah Annisa saat perkataan mummy meniti dibibir isteri kesayangannya itu. Mummy? Kenapa mummy call Annisa? Andrian mula rasa tidak sedap hati.
" Andrian mana?" jelas kebencian dalam nada suara itu. Salam Annisa langsung tidak disambut malah dibalas dengan dengusan kasar.
" Abang ada dengan Nisa ni. Mummy nak cakap dengan abang ke?" Annisa terdiam seketika sebelum menghulurkan telefon bimbitnya kepada Andrian. Dengan berat hati Andrian menyuakan telefon bimbit Annisa ke telinganya. Berkerut-kerut dahi Andrian mendengar maki hamun ibunya.
" Nisa pun isteri Ian mummy..." keluh Andrian. Sesekali dia mengerling ke arah Annisa. Saat mata mereka bertentangan, Annisa mengukir senyuman.
" Ya Ian tahu. Ian tak abaikan pun Maya. Ian tahu tanggungjawab Ian. Tapi Annisa pun isteri Ian. Dua-dua isteri Ian. Dua-dua Ian sayang. Mummy kena faham."
Andrian terdiam lagi. Keluhan demi keluhan dilemparkan. Dia tahu Maya mesti ada mengadu apa-apa dengan mummynya. Kalau tak macam mana mummy boleh campur tangan. Dari dulu lagi mummy memang tak senang tengok dia bahagia dengan Annisa.
"Tak payahlah mummy. Nisa pun tengah sibuk tu. Lain kali saja mummy cakap dengan Nisa. Okeylah, Ian pun ada kerja juga ni. Lain kali kita bual lagi ya, mummy. Assalamualaikum." Terus Andrian memutuskan talian. Jelak telinganya mendengar maki hamun mummy. Telefon dihulurkan semula kepada Annisa.
" Kenapa abang tak bagi Nisa cakap dengan mummy?"
" Tak payahlah. Ingat, lepas ni kalau mummy call, Nisa jangan angkat."
" Tapi..."
" Abang tak izinkan Nisa angkat call mummy, okey?"
" Tapi kenapa?" Annisa tidak puas hati.
Andrian terus memutar stereng kereta. Bukan dia sengaja tidak mahu benarkan Annisa bercakap dengan mummy. Tapi cukuplah selama ini mummy menyakiti Annisa. Andrian tidak mahu melihat Annisa tersakiti lagi. Andrian sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjernihkan hubungan Annisa dan mummy. Sejak dia memperkenalkan Annisa sebagai isterinya, mummylah orang pertama yang menentang.
" Selagi kamu bersama perempuan tu, mummy haramkan kamu jejak kaki ke rumah ini!" Bagaikan terngiang-ngiang maki hamun mummy dipendengarannya dan kerana itu jugalah sudah hampir empat tahun Andrian tidak menjejakkan kaki ke rumah ibu bapanya. Dia sendiri tidak pernah menyesal memilih Annisa. Bagi Andrian, Annisa adalah pilihan terbaik dalam hidupnya. Annisa isteri yang sangat disanjungi. Annisa isteri yang sangat disayangi. Kerana Annisa juga dia sanggup mati. Andrian sendiri tidak faham kenapa mummy benci sangat pada Annisa. Adakah kerana pangkat dan harta yang menjadi ukuran? Hina sangatkah anak yatim piatu seperti Annisa? Hina sangatkah gadis miskin seperti Annisa? Kasihan isterinya itu.
" Malam ni abang temankan Nisa ya." Andrian tidak menjawab soalan Annisa. Dia tidak mahu memikirkan tentang mummy lagi. Biarlah mummy melayan rasa amarah di sana. Sekarang dia hanya mahu tenang bersama Annisa. Itu saja.
" Habis tu macam mana dengan Maya?"
Andrian melepaskan keluhan berat. Diluah mati emak ditelan mati bapa. Dua-dua dia sayang.
" Abang dah lama tak balik rumah kita. Abang rindukan Nisa. Rindukan air tangan Nisa. Malam ni abang nak Nisa buatkan asam pedas untuk abang ya. Sedapnya. Kecur air liur abang bila teringat masakan Nisa."
Annisa mengukir senyuman bahagia saat mendengar kata-kata suaminya.
" Nisa pun rindukan abang. Rindu nak berjemaah dengan abang. Abang sudi tak jadi imam Nisa lagi?" Andrian menggenggam jari jemari Annisa lalu dikucup penuh kasih. Annisa isteri kesayangannya. Annisa isteri solehah. Annisa, isterinya yang sentiasa mengingatkan dia tentang tanggungjawab, halal dan haram. Annisa isteri yang membimbingnya menuju ke jalan Allah. Silap dia kerana terjebak dengan godaan Maya. Silap dia kerana tidak sabar. Silap dia kerana mengkhianati cinta dan kasih sayang Annisa. Semua yang berlaku adalah salah dia.
" Nisa isteri abang. Isteri abang dunia akhirat..."
" Terima kasih kerana sudi terima Nisa dalam hidup abang."
" Abang yang patut ucapkan terima kasih kepada Nisa kerana sudi menjadi isteri yang terbaik untuk abang. Walaupun abang dah banyak lukakan Nisa, Nisa tetap terima abang seadanya, tetap menjadi yang terbaik untuk abang. Abang janji abang tak akan sia-siakan Nisa. Abang janji abang tak akan sesekali abaikan Nisa. Abang janji." ucap Andrian bersungguh-sungguh membuatkan Annisa tersenyum panjang.
**
" Tersenyum panjang nampak. Menang loteri ke?" Maya menyindir Andrian yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah. Belum pun Andrian melepaskan lelah, Maya sudah menyindir dia seperti itu.
Andrian menghampiri Maya lalu didakap tubuh isterinya itu. Hilang penatnya melihat Maya walaupun Maya asyik mempamerkan wajah tegang. Agaknya disebabkan pembawakan budak Maya asyik baran seperti itu.
" Rindu I tak?"
Maya menolak tubuh Andrian.
" You jangan harap bila you bodek I macam ni, I tak akan tanya kenapa you tak balik rumah malam tadi. You bermalam dekat rumah Annisa ke?" Maya sudah memeluk tubuh melihat Andrian melepaskan keluhan lemah.
" Annisa pun isteri I juga..."
" Habis I ni bukan isteri you ke? You lupa ke yang I mengandungkan anak you? Kalau apa-apa terjadi pada kandungan I, you nak bertanggungjawab ke?" Tak habis-habis Maya mempergunakan kandungannya untuk mengugut Andrian. Sengaja dia mahu membuat Andrian rasa serba salah. Namun ternyata ugutan Maya langsung tidak terkesan dihati Andrian. Kalau selalu Andrian akan mengalah setiap kali Maya menggunakan kandungannya namun sekarang tidak lagi. Serta-merta senyuman Andrian melebar dibibir membuatkan Maya semakin kehairanan.
" I ada berita gembira nak share dengan you." Andrian terus menarik tangan Maya agar duduk di sebelahnya. Maya yang terpinga-pinga hanya menurut. Dia semakin tertanya-tanya.
" Annisa..."
" Kenapa dengan Annisa?" Air muka Maya kembali berubah. Annisa lagi? Meluat Maya mendengarnya.
" Kalau you nak tahu, Annisa mengandung Maya. She is pregnant. I akan jadi ayah. I'm so happy!" Andrian tidak putus-putus mengucapkan syukur di dalam hati. Sudah 4 tahun dia menunggu berita gembira ini. Tidak putus-putus doanya siang dan malam dan syukur kerana ALLAH memperkenankan doa mereka. Akhirnya Andrian dapat menimang cahaya mata melalui hasil cinta mereka. Patutlah Annisa kelihatan kurus dan tidak bermaya. Melihat Annisa muntah-muntah, Andrian mula dilanda kebimbangan.
Maya membulatkan mata. Annisa mengandung? Be.. betul ke Annisa mengandung? Dadanya berdegup kencang. Bagi Andrian berita itu sangat menggembirakan tapi tidak bagi Maya. Maya mula merasakan kedudukannya tergugat. Kalau selalu dia menggunakan kandungannya untuk menggugut Andrian tapi sekarang tidak mungkin dia akan menggunakan senjata yang sama lagi. Andrian pasti akan lebih bertanggungjawab pada Annisa. Tak mustahil Andrian akan terlebih memberi perhatian kepada Annisa.
" I ingat I nak buat kenduri kesyukuran. Dah lama I menanti berita gembira ni dan alhamdulillah ALLAH memakbulkan doa kami akhirnya." Dek kerana terlalu teruja Andrian sampai terlupa tentang Maya. Dia hampir terlupa betapa bencinya Maya terhadap Annisa.
" Kenduri kesyukuran? You nak buat kenduri untuk Annisa?"
Melihat Andrian mengangguk membuatkan Maya mendengus geram. Tangan Andrian yang melingkari bahunya terus ditolak kasar. Maya bingkas bangun lalu mengadap Andrian dengan mata yang mencerlang.
" You nak buat kenduri untuk Annisa. Nak raikan kandungan dia? Habis yang dalam perut I ni apa? You sedar tak yang sekarang ni I mengandungkan anak you, benih you. Tapi you tak pernah terfikir pun nak buat kenduri kesyukuran untuk I. Kenapa bila you dapat tahu Annisa mengandung je you terus nak buat kenduri kesyukuran la nak buat majlis itu ini. You nak melebihkan Annisa ke? You nak jadi tak adil pada I ke?"
Andrian sudah terdiam. Dia mula serba salah. Kerana terlalu gembira Andrian sampai terlupa menjaga perasaan Maya.
" Maya, bukan macam tu. I..." Andrian cuba untuk menenangkan Maya namun Maya menepis kuat.
" Sikit-sikit Annisa. You memang selalu melebihkan dia. Apa lebihnya Annisa? Apa yang kurangnya I? You ni memang dah kena guna-guna dengan Annisa agaknya. Sikit-sikit Annisa. Annisa itu Annisa ini. Habis I ni apa? I ni bukan isteri you ke? I ni tak sebaik Annisa ke?" Maya sudah memekik kuat. Ternyata kemarahannya sudah tidak dapat dibendung.
" Maya, I minta maaf. I bukan nak melebih-lebihkan Annisa. Dia isteri I, Maya..."
" Habis I bukan isteri you ke? You anggap I ni apa? Perempuan simpanan you?"
" Bukan macam tu."
" Kalau betul Annisa mengandung, you yakin ke itu anak you? Kenapa lepas 4 tahun baru Annisa nak mengandung? Entah-entah itu anak jantan lain!"
" Maya!" Ternyata kata-kata Maya sudah menggugat kemarahan Andrian. Andrian tidak kisah jika Maya memaki hamun dia tetapi jika Maya cuba memburuk-burukkan Annisa dan menuduh Annisa macam-macam, Andrian tidak dapat terima.
" I boleh terima kalau you hina I. Tapi I tak boleh terima kalau you menuduh Annisa macam tu. You tak kenal Annisa jadi you tak ada hak nak cakap Annisa macam-macam!"
" Apa yang you tahu? Depan you bolehlah dia berlagak alim. Isteri solehah konon. Belakang you entah-entah dia jadi pelacur agaknya. Memang dasar anak pungut!!"
PANG!
Terteleng kepala Maya dengan tamparan Andrian.
" You memang dah melampau Maya. Sekali lagi I dengar you cakap macam tu tentang Annisa, teruk you kena dengan I. I tak akan benarkan you buruk-burukkan Annisa. Dia isteri I. Isteri terbaik untuk I. Sampai bila-bila Annisa akan menjadi isteri I. You pun takkan mampu nak pisahkan kami. Faham?" Terus Andrian berlalu keluar dari rumah dengan amarah yang membungkam di dada. Dia bimbang jika dia berlama-lama di situ makin teruk Maya dikerjakan. Tak sangka sampai begitu sekali anggapan Maya terhadap Annisa. Lupakah Maya pengorbanan Annisa membenarkan mereka berkahwin. Annisa terpaksa memendam rasa kecewa dan menerima Maya dengan baik dalam hidup mereka. Annisa juga terima dengan rela hati apabila Andrian memberi perhatian yang lebih kepada Maya. Tidak pernah sekalipun Annisa merungut apatah lagi memburuk-burukkan Maya. Apa hak Maya nak menghina Annisa?
Terus Andrian memandu kereta membelah keheningan malam. Malam ini dia mahu bermalam di rumah Annisa. Dia tiada hati mahu bermalam di rumah Maya. Di rumah Annisa, dia akan rasa lebih tenang.
**
Annisa meletak ganggang telefon. Dia termangu seketika. Beberapa minit kemudian telefon rumahnya berdering kembali.
" Assalamualaikum..."
" Andrian mana?" Suara di hujung talian sudah menerjah tanpa menjawab salam yang dihulurkan.
" Mummy..."
" Aku tanya mana Andrian?"
Semakin berkerut dahi Annisa. Tadi Maya menghubunginya mencari Andrian, juga memaki hamun dia. Kali ini Annisa terpaksa menadah telinga mendengar maki hamun dari mentuanya pula.
" Abang tak ada..."
" Kau jangan tipu. Aku tahu Andrian ada dengan kau. Mana Andrian? Panggil dia!"
" Betul mummy. Abang tak ada dekat rumah Nisa. Malam ni giliran abang bermalam di rumah Maya."
" Kau jangan tipu aku! Maya telefon aku tadi. Dia mengadu Andrian tak bermalam di rumah dia. Andrian bermalam di rumah kau. Kau sengaja nak sorok Andrian, kan? Kau memang tak bagi Andrian balik ke rumah Maya, kan? Kenapa busuk sangat hati kau ni, hah?"
Annisa beristigfar di dalam hati. Sampai hati mummy menuduh dia seperti itu padahal dia tak tahu ke mana Andrian pergi.
" Apa lagi yang kau nak sebenarnya? Kau dah rampas anak aku, kau dah kikis harta anak aku, sekarang kau nak pisahkan anak aku dengan Maya pulak. Lepas ni apa lagi yang kau nak buat? Memang dasar anak pungut, mak bapak kau memang tak tahu nak mendidik anak ke? Hidup menyusahkan orang!"
Mengalir deras air mata Annisa mendengar herdikan dan hinaan mentuanya. Sampai hati mummy. Apa salah dia? Dia tak pernah pun terniat nak memecahbelahkan hubungan Andrian dengan sesiapa pun. Sumpah dia langsung tak ada niat apa-apa.
" Kau jangan ingat kau dah mengandung, aku akan terima kau dengan anak haram kau tu? Sampai mati aku tak akan terima kau dan anak haram tu. Aku tak akan benarkan walau setitis darah kau mencemari darah keturunan aku."
" Astagfirullah-al-azim mummy. Ini bukan anak haram. Ini anak abang. Anak halal kami. Tak elok mummy fikir sampai macam tu sekali."
" Kau jangan nak mengajar aku pulak. Jangan nak berlagak alim. Aku hanya akan terima Maya dan anak dia saja dalam keturunan aku. Aku tak akan sesekali terima kau. Kau ingat tu. Sampai mati aku tak akan terima kau dan anak kau. Jangan sesekali kau muncul depan aku. Aku jijik nak tengok kau dan anak kau."
Talian terus terputus. Air mata Annisa sudah mengalir deras. Tersedu-sedu dia menahan perasaan. YA ALLAH kenapa sampai macam ni sekali? Apa salah aku? Apa dosa aku sampai mummy benci aku sebegitu rupa. Salahkah aku mencintai Andrian? Berdosakah aku menjadi isteri halal untuknya? Annisa mengusap perutnya yang masih kempis. Ada benih cinta tertanam dirahimnya sekarang. Bukti cinta dia pada Andrian. Alhamdulillah doanya termakbul akhirnya. Anak yang ditunggu-tunggu mereka berdua selama ini. Selama ini mummy menuduh dia mandul dan tidak mampu memberi zuriat kepada Andrian sehingga memaksa Andrian mencari isteri lain. Sekarang bila Annisa disahkan mengandung, mummy tidak mahu terima pula anak dalam kandungannya. Tapi dari mana mummy tahu yang dia mengandung? Mungkin Andrian sudah memaklumkan kepada mummy 'berita gembira' ini.
Annisa tersedar dari lamunan yang panjang saat terdengar pintu rumahnya diketuk. Diseka air mata yang masih membasahi bumi. Dengan langkah longlai Annisa melangkah membuka pintu rumahnya. Tersenyum Annisa saat melihat Jannah bersama suaminya.
**
" Aku gantung kau tak bertali!"
Bergegar jantung Annisa saat terdengar lafaz dari mulut Andrian. YA ALLAH dugaan apa lagi ni?
" Kenapa abang? Apa salah Nisa?" Annisa sudah mengongoi sayu. Andrian muncul tengah malam di rumah mereka dengan wajah yang kusut. Naik takut Annisa ingin menegur Andrian. Selama ini Annisa tidak pernah melihat Andrian seperti itu.
Andrian sudah mundar-mandir. Wajahnya merah padam menahan rasa amarah yang teramat sangat. Dadanya berombak-ombak.
" Aku tak sangka yang selama ni aku simpan perempuan sundal macam kau. Bila aku tak ada, kau berani bawak jantan masuk ke rumah ni. Aku tak sangka yang kau sanggup khianati aku. Selama ini aku agung-agungkan kau. Aku muliakan kau sebagai isteri aku. Aku sayangi kau, cintai kau. Kerana kau, aku sanggup mati, Annisa. Kerana kau aku sanggup buat apa saja. Tapi ini yang kau balas? Betul kata mummy, betul kata Maya, depan aku kau berlagak alim tapi belakang aku kau memang tak ubah macam pelacur! Memang dasar budak jalanan! Entah-entah anak yang dalam perut kau tu pun anak haram!"
PANG!
Annisa tergamam apatah lagi Andrian. Sekilas Annisa memegang tangannya sebelum dia menjatuhkan pandangannya ke muka Andrian yang sudah berbirat.
" Ab...abang...YA ALLAH, Nisa tak sengaja abang. Maafkan Nisa bang. Maafkan Nisa." Hampir meraung Annisa dibuatnya. Sungguh dia tidak sengaja mahu mengasar Andrian. Dia sendiri tidak sedar yang tangannya sudah mencemari wajah Andrian. Berbekas kesan tapak tangannya di wajah lelaki yang dicintainya itu.
" Kau memang... kau memang isteri derhaka Annisa. Aku sumpah yang kau tak akan hidup tenang selama-lamanya. Jangan harap aku akan ceraikan kau dan benarkan kau hidup bersama jantan tu. Sampai kau mati aku akan gantung kau tak bertali. Ingat Annisa, sampai mati!"
" Apa abang cakap ni? Kenapa sampai hati abang jatuhkan hukuman pada kesalahan yang Nisa langsung tak buat? Nisa tak ada sesiapa selain abang. Sumpah Nisa tak ada lelaki lain." Annisa memeluk tubuh Andrian namun Andrian menolak kasar tubuhnya. Ternyata Andrian sudah diamuk kemarahan. Sikit pun dia tidak mempedulikan raungan dan rayuan Annisa. Kerana terlalu melayan kemarahan sampai dia terlupa dimana letaknya kasih sayang dan cintanya terhadap Annisa sekarang.
" Aku benci kau. Aku benci kau Nisa! Aku sayang kau. Aku jaga kau selama ni. Aku bangga ada isteri sebaik kau. Aku muliakan kau. Aku sanggup buang keluarga kerana kau. Aku sanggup korbankan segalanya untuk kau. Tapi ini balasan kau terhadap aku. Tak cukup lagi ke segala yang aku dah buat terhadap kau selama ni? Apa lagi yang kau nak Nisa? Apa lagi yang tak cukup?" Kecewa? Ya, Andrian terlalu kecewa apabila cinta dan pengorbanannya dikhianati. Tapi lupakah Andrian yang dia juga telah mengkhianati Annisa namun Annisa masih mampu tersenyum dan memaafkan segala perbuatan Andrian.
" Patutlah kau tak kisah aku kahwin dengan Maya. Rupa-rupanya kau dah ada jantan lain di belakang aku. Kau memang tak kisah langsung dengan aku, kan? Kau memang tak pernah nak hargai apa yang aku dah korbankan untuk kau. Kau memang tak mampu nak jadi isteri yang aku selalu muliakan. Kau memang bukan perempuan yang aku harapkan selama ini. Aku menyesal Nisa. Dalam hidup aku, inilah kali pertama aku lakukan kesilapan besar bila memilih kau menjadi isteri aku."
Hancur lumat hati Annisa mendengar bait-bait perkataan yang keluar dari mulut Andrian.
" Sumpah. Nisa tak pernah curang pada abang. Nisa hanya ada abang dalam hidup Nisa. Kenapa abang sampai macam tu sekali menuduh Nisa? Nisa tak buat semua tu."
Andrian menggeleng. Matanya tidak menipu. Dia tengok dengan matanya sendiri seorang lelaki yang tidak dikenali keluar dari rumah mereka. Dia nampak Annisa kelihatan mesra dengan lelaki itu. Takkan Annisa tak tahu batas-batas dia sebagai seorang isteri dengan membenarkan lelaki asing masuk ke kediaman mereka disaat Andrian tiada di rumah. Agaknya sudah berapa kali lelaki itu keluar masuk rumah mereka. Lagi-lagi Andrian sudah jarang balik ke rumah, makin ligatlah Annisa bawa jantan balik ke rumah.
" Aku dah tak nak dengar apa-apa penjelasan dari kau lagi. Kau buatlah apa yang kau nak. Tapi ingat, aku tak akan sesekali ceraikan kau. Biar kau dan jantan tu tak dapat hidup bersama. Biar kamu berdua hidup menderita sampai mati." Dengan penuh dendam dihati Andrian melangkah keluar dari rumah. Nak mengejar langkah Andrian, Annisa rasa tidak terdaya. Tubuhnya menjadi lemah dan akhirnya dia terjelepuk ke lantai. Dia hanya mampu memandang pemergian Andrian dengan air mata yang sudah mencurah membasahi bumi.
" Nisa tak salah. Nisa sayang abang. Nisa cinta abang. Kenapa abang ragui cinta dan kasih sayang Nisa? Kenapa abang? Sampai hati abang hina Nisa. Sampai hati abang tuduh Nisa macam-macam. Sampai hati abang..."
**
" Aku terima nikahnya Nur Annisa binti Ahmad Mazlan dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai."
Annisa dan Andrian mengucap syukur di dalam hati kerana akhirnya mereka disatukan dalam ikatan yang sah. Impian Andrian untuk menjadi suami buat Annisa sudah tercapai. Walaupun tiada majlis besar-besaran yang dibuat, hanya akad nikah dimasjid, Annisa dan Andrian tetap bersyukur. Bukan majlis besar-besaran yang mereka dambakan. Cukuplah antara mereka sudah punya ikatan yang halal.
" Perempuan mana kau bawa balik ni Andrian?" Datin Maria sudah mengerutkan dahi. Atas bawah dia memandang gadis bertudung labuh yang asyik menunduk di sebelah Andrian. Takut-takut gadis itu mahu memandang wajah Datin Maria dan Datuk Bahadur yang tidak berkelip memandangnya.
" Kenalkan mummy, daddy... ini Annisa. Isteri Ian..."
" Isteri?" Datin Maria terus terbangun dari duduknya. Membulat matanya memandang Andrian dan Annisa silih berganti.
" Sejak bila pula kamu berkahwin? Tiba-tiba kamu bawa perempuan ni balik dan kenalkan perempuan ni sebagai isteri kamu? Kamu nak buat lawak ke apa ni?"
" Andrian, cuba kamu cakap betul-betul. Perkara ni tak boleh di buat main. Betul kamu dah bernikah dengan perempuan ni?" Datuk Bahadur lebih berdiplomasi. Dia tidak mahu cepat melenting berbanding isterinya.
Andrian mengangguk.
" Sejak bila?"
" Dah sebulan."
" Sebulan?" Melengking kuat suara Datin Maria. " Dah sebulan kamu bernikah, baru sekarang kamu nak beritahu kami? Kamu memang memalukan kami. Mana mummy dan daddy mahu letak muka ni hah? Kamu lupa ke Ian yang kamu dah bertunang dengan Maya. Apa mummy nak jawab pada mak bapak Maya? Kamu tahu tak tindakan kamu ni boleh merenggangkan persahabatan kami. Mana kamu letak otak kamu hah? Ni, perempuan mana yang kau bawak balik ni? Siapa mak bapak dia? Dia ni anak Datuk mana?"
" Isteri Ian anak yatim piatu, mummy."
" Anak yatim piatu? Perempuan ni bukan orang berada? Kamu ni memang dah gila agaknya. Memang memalukan keturunan aku. H ei, perempuan! Apa yang kau nak dari anak aku hah? Kau nak kikis harta anak aku, kan? Tak guna!" Datin Maria menarik tangan Annisa lalu dilempang pipi Annisa sekuat hati. Annisa terjelepuk ke lantai.
" Mummy!" Cepat-cepat Andrian menahan Datin Maria dari mengasari Annisa. Datuk Bahadur hanya melihat. Langsung tiada hati mahu menyuruh isterinya menghentikan perbuatannya itu.
" Ian tak akan benarkan mummy mengasari isteri Ian. Annisa isteri Ian sampai Ian mati. Ian tak akan benarkan mummy sakiti isteri Ian lagi!"
Datin Maria semakin berang. Anak yang dijaganya dengan penuh kasih sayang selama ini telah berani meninggikan suara padanya. Kerana perempuan tak guna tu Andrian sudah berani menengking ibunya sendiri.
" Kerana perempuan jalanan ni kamu sudah pandai tinggikan suara pada mummy."
" Dia bukan perempuan jalanan. Annisa isteri Ian!"
" Andrian Shah!" Datuk Bahadur sudah campur tangan. Dia juga sudah tidak dapat duduk selesa bila melihat Andrian sudah menjadi kurang ajar.
" Kamu memang sudah betul-betul memalukan kami. Daddy beri pilihan kepada kamu. Kamu mahu pilih apa yang kamu ada sekarang ataupun kamu mahu pilih untuk hidup dengan perempuan tu?" Datuk Bahadur sudah membuat keputusan. Dia berharap Andrian memilih apa yang dia ada sekarang. Kalau betul, Andrian perlu menceraikan isterinya dan berkahwin dengan Maya. Andrian satu-satunya anak tunggal dan menjadi kebanggaan mereka selama ini. Dari kecil hidup Andrian disogokkan dengan kemewahan. Tidak pernah sekalipun Andrian hidup susah. Jika Andrian memilih isterinya, bermakna Andrian harus melupakan niatnya untuk mewarisi segala harta kekayaan keluarganya.
Andrian menarik nafas panjang. Wajah Annisa yang asyik menunduk dari tadi dipandang dengan perasaan berbaur. Dia tahu Annisa menangis. Dia tahu Annisa takut dengan suasana seperti ini. Betapa rendahnya martabat Annisa di mata ibu bapanya. Andrian sendiri tidak menyangka sampai begitu sekali penerimaan mummy dan daddy terhadap Annisa. Hanya kerana Annisa bukan dari golongan berada,maruah dan harga dirinya dipandang hina. Andrian mengeratkan genggaman tangannya pada tangan Annisa seakan memberi kekuatan kepada isterinya untuk melalui keadaan sekarang. Wajah putih bersih yang sudah basah dengan air mata itu sudah mendongak memandang Andrian dengan harapan yang tinggi menggunung.
" Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani, aku, Andrian Shah memuliakan Nur Annisa sebagai isteriku. Isteri yang akan menjadi isteriku sehingga ke akhir nafas. Di dalam sukar atau senang, Ian hanya mahu Annisa yang berada di sisi Ian. Hidup mati Ian hanya disamping Annisa. Walau apa pun rintangan dan halangan, Ian hanya mahu Annisa menjadi isteri Ian dunia akhirat."
Annisa membalas genggaman tangan Andrian. Terharu dia mendengar kata-kata Andrian. Kerana dia, Andrian sanggup meninggalkan segala kemewahan yang dikecapi sekarang. Kerana dia, Andrian sanggup mengorbankan segalanya. Annisa berjanji pada diri sendiri selagi nyawa dikandung badan, dia akan taat pada Andrian. Segala hidupnya diserahkan pada Andrian. Dia berjanji akan menjadi isteri yang terbaik dan solehah untuk Andrian.
" Baik, kalau itu pilihan kamu, daddy harap kamu tak akan menyesal. Sekarang daddy mahu kamu kemaskan semua barang-barang kamu dan keluar dari rumah ini dengan segala hormatnya."
Andrian memejam matanya. Ya, dia sudah bulat dengan keputusannya. Dia tidak akan sesekali berganjak. Annisa hidupnya sekarang. Annisa gadis yang telah membawa dia ke pangkal jalan. Kalau bukan kerana Annisa, sampai bila-bila dia tidak mengenal TUHAN. Kalau bukan kerana Annisa, sampai bila-bila dia tidak mampu beroleh ketenangan.
" Abang..." Annisa sudah mula kerisauan. Dia tidak sanggup melihat Andrian dibuang keluarga kerana dia. Dia tahu Andrian tertekan dengan keputusan daddynya. Annisa tahu Andrian kecewa.
" Abang sanggup kehilangan segalanya tapi abang tak sanggup kehilangan Nisa."
Datin Maria mencebik mendengar kata-kata Andrian. Meluat dia melihat pasangan sejoli itu.
" Ingat Ian. Selagi kamu bersama betina ni, mummy haramkan kamu jejakkan kaki ke rumah ini. Menantu mummy hanya Maya. Hanya Maya yang layak menjadi menantu mummy. Dan kau perempuan, sampai mati aku tak akan terima kau sebagai menantu aku. Seluruh keturunan kau aku haramkan jejakkan kaki ke rumah ini. Sekarang kamu berdua boleh berambus. Berambus!!!"
Andrian memeluk Annisa bila Datin Maria mahu mengasari Annisa lagi. Dia tidak akan biarkan mummy menyakiti Annisa walaupun seinci.
" Abang..." Fikiran Annisa bercelaru. Betulkah keputusan yang dibuat oleh Andrian. Annisa sudah bersedia untuk berundur asalkan Andrian tidak dibuang keluarga. Dia tidak sanggup melihat Andrian memusnahkan hidupnya semata-mata kerana dia. Andrian menarik tangan Annisa keluar dari rumah mewah keluarganya. Sudah tidak sanggup lagi dia mahu mendengar cercaan dan makian mummy terhadap Annisa. Annisa perempuan yang baik. Mummy tidak ada hak mahu mempertikaikan siapa isterinya.
" Abang tak apa-apa sayang. Abang baik-baik saja selagi Nisa ada di sisi abang." Annisa tahu walaupun Andrian mengukir senyuman namun didalam hati Andrian sedang dilanda rasa sedih yang teramat sangat. Andrian sudah melakukan pengorbanan yang paling besar dalam hidupnya.
" Terima kasih kerana memilih Nisa. Nisa janji Nisa akan setia dan taat pada abang. Nisa janji akan menjadi yang terbaik untuk abang."
" Abang yang patut ucapkan terima kasih pada Nisa kerana Nisa sudi terima abang jadi suami Nisa. Abang janji abang akan melindungi Nisa, tak akan sesekali abang sakiti Nisa. Abang janji abang akan bersama Nisa hingga ke akhir nafas abang. Dengan nama ALLAH, abang janji Nisa yang akan menjadi isteri abang sampai akhir nafas abang."
Annisa memeluk lututnya. Abang... mana janji-janji abang dulu? Kenapa abang tinggalkan Nisa macam ni? Apa salah Nisa? Apa dosa Nisa? Nisa tak pernah pun curang pada abang. Nisa hanya setia pada abang selama ini. Kenapa tergamak abang ragui kesetiaan Nisa? Kenapa abang sanggup jatuhkan hukuman sebelum dengar penjelasan dari Nisa? Kenapa abang? Kenapa?
Annisa sudah mengongoi kesedihan. Sudah naik lenguh dia mendail nombor telefon Andrian namun Andrian mematikan telefonnya. Sudah beratus-ratus mesej dihantar namun tidak sekali pun Andrian membalas mesej-mesejnya. Benci sangat Andrian padanya sekarang.
" Maya, abang Ian mana? Bagilah Nisa cakap dengan abang. Sekejap pun tak apa." Annisa merayu. Berjuraian air matanya. Dia sanggup buat apa saja untuk Maya asalkan Maya sanggup memberi dia peluang untuk bercakap dengan Andrian.
" Hei, betina! Kau ni memang jenis tak faham bahasa ke? Andrian tak nak cakap dengan kaulah! Dasar perempuan sundal. Masa buat tak fikir dulu. Dah jadi macam ni baru nak menyesal. Kau jangan harap Andrian akan terima perempuan jalang macam kaulah."
" Cakaplah apa yang Maya nak cakap pada Nisa. Tuduhlah Nisa sepuas hati Maya. Tapi benarkanlah Nisa bercakap dengan abang. Bagi Nisa peluang jelaskan segalanya pada abang."
" Dah tak ada apa yang perlu kau jelaskan. Andrian pun dah tinggalkan kau, kan? Sepatutnya dari dulu lagi dia patut tinggalkan kau. Perempuan sundal dan jalang macam kau ni, memang tak patut dia simpan lagi. Lepas ni kau jangan kacau suami aku lagi. Andrian tu suami aku!"
" Abang pun suami Nisa jugak. Tolonglah Maya. Nisa merayu. Tolonglah benarkan Nisa bercakap dengan abang. Tolonglah!"
" Andrian tak ada!" Klik.
Annisa hampir meraung. Abang...Nisa perlukan abang. Nisa rindu sangat pada abang. Baliklah abang. Jangan buat Nisa macam ni...
Annisa memeluk gambar Andrian. Dicium baju Andrian...
" Abang... baliklah..."
**
Jannah melepaskan keluhan kecil. Lapan bulan sudah berlalu namun Annisa tetap begitu. Menungan sudah menjadi rutin hariannya. Sahabat yang dahulunya hidup penuh dengan keriangan dan senyuman sentiasa menghiasi bibir kini hidup dalam kesuraman. Tidak disangka yang Annisa sedang menanggung beban yang maha berat. Walaupun tidak banyak yang Jannah tahu tentang kisah Annisa dan Andrian namun Jannah dapat memahami bebanan perasaan yang ditanggung Annisa.
" Annisa..."
Annisa yang sedang mengait baju bayi mengangkat muka. Walaupun wajah itu kelihatan suram namun seri ibu mengandung tetap kelihatan. Tenang Jannah melihat wajah polos Annisa. Cantik dan tidak jemu mata memandang.
" Saya belikan nasi beriani yang awak nak tu." Kebetulan sewaktu keluar dari butik tadi Jannah terus teringatkan Annisa. Annisa pernah cakap yang dia teringin sangat nak makan nasi beriani. Annisa sekarang sudah tidak lagi ke butik. Segala urusan di butik Jannah yang uruskan. Annisa lebih selesa bekerja di rumah. Nasib baik rakan kongsinya itu jenis memahami.
"Terima kasih Jannah. Maaf terpaksa susahkan awak."
" Nisa... awak dah macam adik saya. Apa pun yang awak teringin nak makan, awak cakap saja. InsyaALLAH saya akan sediakan."
Annisa mengukir senyuman. Syukur walaupun semua orang bencikan dia sekurang-kurangnya masih ada umat Muhammad yang masih ingin mengambil berat perihal dia. Annisa mengusap perutnya yang sudah memboyot. Tunggu masa saja untuk dia melahirkan. Bahagianya kalau Andrian ada disisi dia. Mengingati Andrian, dada Annisa dipalu rasa sedih dan kecewa. Ke mana agaknya Andrian menghilang. Sejak peristiwa itu, sekali pun Andrian tidak kirimkan khabar berita. Andrian sudah berhenti kerja. Andrian dan Maya juga sudah tidak duduk di rumah mereka lagi. Mungkin juga Andrian sudah membawa Maya keluar dari Kuala Lumpur. Mungkin juga Andrian sudah menetap semula di Johor Bharu, di mana keluarga mewahnya menetap. Annisa ingin sekali menghubungi mentuanya untuk bertanyakan perihal Andrian namun terpaksa Annisa batalkan niatnya. Dia yakin mummy tentu tak akan beri dia peluang untuk bercakap dengan Andrian. Bukan saja tak mahu beri dia peluang untuk bercakap dengan Andrian, malah cercaan dan makian yang akan diterima.Annisa tidak mahu mummy terus-terusan membenci dia. Semoga suatu hari nanti hati Andrian akan terbuka untuk memaafkan Annisa.
" Jannah.. boleh tak kalau saya buat satu permintaan?"
Jannah mengangguk.
" Andai kata berlaku apa-apa pada saya nanti, boleh tak awak jaga anak saya ni. Boleh tak awak anggap anak saya ni sebagai anak kandung awak? Saya dah tak ada sesiapa lagi yang boleh saya harapkan sekarang. Saya tak sanggup biarkan anak saya ni dihantar ke rumah anak-anak yatim. Saya tak mahu anak saya terima nasib yang sama macam saya. Saya nak anak saya hidup dengan sempurna, ada ibu dan ayah yang menyayangi dia." Air mata Annisa sudah berlinangan. Mengenangkan anak dalam kandungannya membuatkan Annisa susah hati. Bimbang memikirkan nasib anaknya di kemudian hari.
" Kenapa awak cakap macam tu. Awak tak akan apa-apa Annisa."
" Berjanjilah pada saya Jannah. Hanya awak harapan saya. Saya takut sangat kalau saya tak sempat nak jaga anak ini."
Bagi Jannah yang sudah hampir lima tahun mendirikan rumah tangga namun masih tidak dikurniakan anak, permintaan Annisa bagaikan rezeki yang jatuh dari langit. Jannah memang sudah berniat mahu menjadikan anak dalam kandungan Annisa sebagai anak angkatnya tetapi dia mahu membesarkan anak itu bersama-sama Annisa. Dia mahu mereka sama-sama melihat anak itu membesar. Suaminya juga bersetuju dengan pendapat Jannah.
" Nisa... Ini juga anak Andrian. Andrian pasti akan bertanggungjawab sebab ini darah daging dia."
Anissa membungkam. Kalaulah Jannah tahu apa yang terjadi. Kalaulah Jannah tahu yang Andrian tak mahu mengaku yang ini anaknya, tentu Jannah akan merasa terkilan. Tentu Jannah tidak menyangka yang Andrian sanggup buat begitu. Annisa pun tidak mahu buka mulut untuk bercerita apa-apa pada Jannah. Ini hal rumah tangga mereka. Anissa tidak mahu mengaibkan sesiapa. Lagipun mungkin dia juga bersalah tanpa dia sedar cuma dia tidak tahu apa salahnya sehingga dia dihukum sebegitu rupa.
" Jannah, berjanjilah pada saya..." Annisa memegang tangan Jannah. Penuh pengharapan. Jannah melepaskan keluhan sebelum mengangguk tanda setuju dengan permintaan Anisa.
Abang, disaat Nisa begini hanya abang yang Nisa harapkan berada disisi Nisa. Siang malam Nisa tak putus-putus berdoa semoga ALLAH melembutkan hati abang agar abang kembali pada Nisa. Cinta kita semakin membesar dalam rahim Nisa dan sekarang Nisa hanya tunggu masa saja untuk melahirkan cinta kita. Inilah tanda cinta yang kita tunggu-tunggukan hampir 4 tahun. Akhirnya TUHAN memakbulkan doa kita. Nisa tahu abang teringin sangat nak menimang cahaya mata.Nisa juga tahu abang teruja bila tahu Nisa tak sedap badan dan abang pasti akan kecewa bila keputusannya negatif. Nisa tahu abang sengaja mahu sedapkan hati Nisa bila abang cakap 'tak apa, bukan rezeki lagi'.Ada anak atau tidak, abang tak kisah asalkan Nisa sentiasa disisi abang.'
Dan sekarang impian abang untuk menjadi seorang ayah sudah termakbul. Tapi kenapa abang menghilang? Tak sekali pun abang balik jenguk Nisa disini. Nisa selalu sedapkan hati Nisa yang abang akan balik suatu hari nanti. Cuma Nisa berharap sangat-sangat sewaktu Nisa melahirkan anak ini, abang ada disisi Nisa. Hanya itu yang Nisa harapkan. Nisa hanya mahukan abang. Hanya mahukan abang menemani Nisa. Tapi kalau abang tak mahu juga temankan Nisa, tak apalah. Nisa akur. Nisa maafkan segala salah silap abang. Bagi Nisa, abang tetap suami Nisa dunia akhirat. Abang tetap suami yang Nisa sanjungi. Nisa hanya mahukan abang dalam hidup ini. Hanya abang....
" Abang...Nisa sakit sangat abang... YA ALLAH..."
" Nisa, kuatkan semangat. Ingat ALLAH banyak-banyak. Mengucap banyak-banyak Nisa. Insya ALLAH segalanya akan berjalan dengan lancar." Jannah menggenggam erat tangan Annisa. Sudah sampai masanya untuk Annisa melahirkan anak.
" Mana Andrian? Abang... Nisa nak abang..."
Jannah sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia sendiri tidak tahu di mana mahu mencari Andrian. Dia tidak tahu di mana Andrian bekerja, di mana rumah ibu bapa Andrian. Segalanya dia tak tahu. Jannah juga sudah cuba mendail nombor telefon Andrian. Itu pun Jannah curi-curi mengambilnya dari simpanan telefon bimbit Annisa. Namun nombor itu sudah tiada dalam perkhidmatan. Jannah sudah berpatah arang. Dia sendiri sudah tak tahu apa yang harus dilakukan.
" Jannah... tolong sampaikan pada Andrian... hanya dia saja suami Nisa dunia akhirat. Hanya abang suami Nisa dunia akhirat. Nisa maafkan segala salah silap abang." Annisa memejam matanya erat-erat cuba melawan kesakitan yang semakin mencengkam. Kecewa? Ya, Annisa sangat kecewa. Harapannya agar Andrian datang menemani dia saat dia melahirkan ternyata tidak termakbul. Tak apalah. Mungkin TUHAN sudah merencanakan sesuatu yang lebih baik untuknya.
Annisa membuka mata saat terasa dahinya dikucup seseorang. Dalam menahan kesakitan yang teramat sangat Annisa ternampak bayangan Andrian.
" Abang datang sayang..."
Annisa bersyukur di dalam hati. Walaupun dia tahu semua itu hanyalah sekadar ilusinya, dia tetap dapat merasakan kehadiran Andrian disisinya.
TIGA BULAN KEMUDIAN.
Hampir setahun Andrian tidak menjejakkan kaki ke rumah itu. Masih seperti dahulu, kemas dan teratur. Semakin menghampiri pintu rumah, semakin berdebar hati Andrian. Apa khabar Annisa agaknya. Mengikut perkiraan Annisa sudah melahirkan anak. Kalau ikutkan hati yang marah, memang dia tidak mahu melihat Annisa. Namun dia mahu melihat sebahagia mana hidup Annisa sejak dia meninggalkan isteri 'solehahnya' itu. Apakah Annisa hidup gembira sejak ketiadaannya? Apakah Annisa tak kisah sama ada dia ada atau tidak? Memang dasar perempuan sundal kalau betul Annisa bahagia sejak ketiadaannya.
Andrian memulas tombol pintu. Memang Andrian masih lagi menyimpan kunci pendua rumah mereka. Rasanya dia tidak dikira menceroboh kerana rumah itu masih miliknya dan Annisa masih isterinya yang sah. Tak salah kalau dia mahu buat 'spotcheck'. Mana tahu Annisa ada simpan jantan dalam rumah ni. Kalau betul, hari ini juga dia akan menceraikan Annisa. Dia sudah tidak sanggup menyimpan perempuan seperti itu lagi. Perempuan seperti itu tidak layak bergelar isterinya lagi. Sambil melangkah masuk hati Andrian penuh dengan syak wasangka. Penuh dengan prejudis. Tidak sudah-sudah dia memikirkan keburukan dan kejahatan Annisa.
Andrian memandang sekeliling. Kemas dan teratur namun semua perabot ditutup dengan kain putih. Didinding masih lagi tergantung gambar perkahwinan mereka. Andrian merasa pelik. Kenapa semua perabot perlu ditutup dengan kain putih? Annisa dah pindah rumah ke? Tapi keadaan rumah langsung tak berhabuk seakan masih berpenghuni. Andrian mendaki anak tangga. Sasarannya ialah bilik tidur mereka. Daun pintu ditolak dengan rasa yang berbelah bagi. Kemas dan wangian kesukaan Andrian berkeliaran di seluruh ruang bilik tidur mereka. Mana Annisa? Andrian tertanya-tanya. Langsung tidak terlihat kelibat Annisa. Di bilik air juga langsung tiada. Akhirnya Andrian duduk dibirai katil. Keadaan sekeliling menjadi perhatiannya. Segala kenangan terkumpul di dalam bilik itu. Di dalam bilik itu jugalah Andrian meninggalkan Annisa menangis tersedu sedan. Anak mata Andrian jatuh ke arah meja solek. Lantas dihampiri meja itu. Andrian mencapai telefon bimbit Annisa yang terletak elok di atas sebuah buku berkulit hitam yang tertulis Diari. Dibelek-belek telefon itu. Semua digeledah sampailah ke peti mesej dan peti panggilan dibukanya. Banyak panggilan yang dibuat ke atas nombor lamanya. Mesej juga banyak dihantar ke nombor lamanya dan ternyata Andrian tidak pernah sekali pun membaca mesej-mesej itu. Sejak peristiwa malam itu Andrian terus menukar nombor telefon. Dia tidak mahu mendengar lagi rayuan Annisa. Dia tidak mahu hatinya menjadi lembut mendengar tangisan wanita kesayangannya itu. Annisa patut diberi pengajaran. Tipulah kalau dia tidak merindui Annisa. Sumpah dia sangat merindui isterinya namun memikirkan Annisa yang telah mengkhianatinya, Andrian buang jauh-jauh perasaan rindunya pada Annisa.
Ketika sibuk membelek telefon itu barulah Andrian perasan yang nombor telefon Annisa sudah tamat perkhidmatan. Panggilan terakhir yang dibuat pun tiga bulan lepas. Mesej terakhir yang dihantar pun tiga bulan lepas. Nampaknya Annisa pun sudah menukar nombor telefon. Kenapa perlu menukar nombor telefon? Kau takut aku cari kau lagi ke? Andrian mendengus geram. Ikutkan hati mahu saja Andrian menghempas telefon bimbit itu ke dinding. Biar hancur berkecai!
Andrian mencapai buku berkulit hitam itu. Diari? Sejak bila pulak Annisa tahu menulis dairi? Andrian menyelak helaian dairi itu. Memang benar segala luahan hati Annisa tercatat pada Dairi hitam itu. Segala-galanya tercatat di situ sehinggalah saat Andrian menjatuh hukuman tak bertali pada Annisa, segalanya tertulis di situ.
14 may
Maya bertemu aku petang tadi. Dia mengaku yang dia sedang hamilkan anak suamiku. YA ALLAH dugaan apakah ini? Hancurnya hati aku mendengar pengakuan itu. Abang... betul ke abang? Betul ke abang yang buat semua tu?
16 May,
Aku ternanti-nanti Abang berterus terang. Hatiku sentiasa berharap dan berdoa agar Abang menafikan kata-kata Maya. Namun melihat Abang yang seakan menjauhi aku dan tidak mesra seperti selalu, membuatkan aku rasa ragu-ragu. YA ALLAH... jangan biarkan aku berprasangka dengan suamiku. Walaupun separuh hatiku yakin dengan kata-kata Maya,tetapi aku tetap mahu meletakkan harapan yang semua itu tidak benar. Mustahil suamiku akan menduakan aku. Mustahil suamiku akan mengkhianati cinta kami....
30 May,
Kosong... Kosongnya hati ini YA ALLAH... Apa yang harus aku lakukan sekarang? Aku tak boleh biarkan suamiku terus tersilap langkah. Dalam keterpaksaan aku membenarkan suamiku menikahi Maya. Hati isteri mana yang tidak hancur melihat suami sendiri tersenyum gembira disamping wanita lain. Kalaulah abang rasa apa yang Nisa rasa... Hancurnya hati Nisa. Tapi terpaksa Nisa pendamkan segalanya sendirian demi kebahagiaan abang. Nisa tahu Nisa tak mampu nak berikan abang cahaya mata. Mungkin bila bersama Maya, abang mampu mengecapi semua kebahagiaan yang tak mampu Nisa berikan...
Andrian terkedu. Dia hampir terlupa yang dia pernah menghancurkan hati Annisa. Sangkanya Annisa tidak kisah dengan perkahwinannya dengan Maya. Sangkanya Annisa tidak rasa apa-apa... Namun... ah, untuk apa difikirkan tentang perasaan Annisa. Annisa sendiri sudah melakukan perkara yang sama. Annisa sendiri telah melukai dia. Jadi mereka 'seri'.
Andrian melangkah ke birai katil. Helaian demi helaian diselak lagi.
5 Ogos,
YA ALLAH... aku panjatkan penuh kesyukuran kepadaMU. Akhirnya apa yang kami nantikan selama ini KAU telah makbulkan. Betapa bahagiakan aku melihat suami kesayanganku tersenyum lebar saat doktor mengesahkan yang aku sudah mengandung dan kandunganku baru berusia 3 minggu. Itulah berita yang kami nantikan selama ini. Itulah tanda cinta kami berdua.
10 Ogos,
Baru saja aku ingin mengecapi kebahagiaan bersama suami tercinta, akhirnya aku di duga lagi. Sungguh berat dugaan kali ini hinggakan aku rasa lelah untuk menempuhinya. Untuk kesekian kalinya hatiku hancur sehancur hancurnya saat suamiku menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan yang langsung tidak aku lakukan. Aku digantung tak bertali. Aku ditinggalkan terkapai-kapai. Suamiku pergi tanpa mendengar penjelasan dariku... Aku rela andai suamiku menghina aku, aku rela andai suamiku memukul aku tapi aku tersangat sedih bila suamiku tidak mahu mengaku yang anak dalam kandunganku adalah darah dagingnya. Aku dituduh perempuan sundal. Aku dituduh bagaikan pelacur sedangkan selama ini aku cukup menjaga maruahku sebagai seorang isteri kepada suamiku. Kerana salah faham segalanya hancur kini....
Dada Andrian berdegup kencang. Salah faham? Apa salah fahamnya? Dia sendiri yang nampak seorang lelaki keluar dari rumah mereka. Annisa yang sedang bersandar di kereta milik lelaki itu pula kelihatan asyik bergelak ketawa.
15 september
Abang... mana abang pergi? Nisa terlalu merindui abang. Baliklah bang...Puas Nisa cari abang. Puas Nisa hubungi abang tapi sekalipun abang tak pernah angkat panggilan Nisa. Setiap hari Nisa tunggu abang balik. Nisa rindu nak peluk cium abang. Nisa sanggup sujud dikaki abang asalkan abang kembali semula kepada Nisa. Nisa sanggup buat apa saja asalkan abang tak tinggalkan NIsa. Nisa sanggup buat apa saja demi abang...
5 Januari
Dugaan demi dugaan melanda. YA ALLAH berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku semangat. Kuatkan aku hingga kelahiran anak ini. Aku mahu anak ini membesar dengan sihat. Aku mahu anak ini dapat melihat dunia dan mengenali papanya walaupun papanya mungkin tidak dapat menerima anakku lagi. Abang... abang betul-betul dah buang Nisa dari hidup abang tapi Nisa tak pernah berhenti berharap agar suatu hari nanti abang akan kembali kepada Nisa.
13 Mac
Semakin menghampiri hari kelahiran, semakin hatiku berdebar-debar. Kadang-kadang terbayang-bayang kesakitan yang bakal aku alami. Namun demi anak tercinta, demi buah hatiku ini aku sanggup korbankan segalanya. Aku sanggup lupakan segala kesakitan itu. Dari minggu lepas aku teringin sangat nak makan nasi beriani. Tapi memikirkan keadaanku yang tak berapa sihat, terpaksa aku memendam keinginanku. Nak minta tolong Jannah, rasanya sudah banyak kali aku menyusahkan dia. Setiap kali aku mengidam, pasti Jannah yang akan berusaha memenuhi keinginanku. Syukur kerana aku dikurniakan sahabat baik seperti Jannah. Kalaulah abang ada, pasti abang akan lelah melayan kerenahku. Selalu aku terbayangkan abang berada disisiku melihat kandunganku membesar. Abang.... Nisa tak pernah lupakan abang. Seperti biasa Nisa tetap mengharapkan kepulangan abang... Hari-hari Nisa merindui abang. Nisa hanya mampu memeluk dan mencium baju dan gambar abang saja. Hanya itu yang mampu Nisa lakukan untuk mengubati rindu Nisa pada abang...
23 Mac
Abang....abang...abang.... Nisa teringin sangat ingin menatap wajah abang. Nisa nak kucup tangan abang. Nisa nak minta maaf pada abang dari hujung rambut sampai hujung kaki. Nisa nak peluk abang. Nisa terlalu rindukan abang... Nisa berharap sangat abang akan temankan Nisa masa Nisa mahu bersalin nanti. Nisa merayu pada abang. Berilah Nisa peluang menatap wajah abang mungkin untuk kali yang terakhir..
30 Mac
Malam ni Nisa masakkan semua makanan kegemaran abang. Walaupun Nisa tahu abang tak akan balik malam ni dan walaupun Nisa tahu semua tu membazir, Nisa tetap masak juga. Walaupun Nisa dah tak larat dan hanya tunggu masa saja, Nisa tetap lakukan juga kerana Nisa takut itu adalah peluang terakhir untuk Nisa memasak untuk abang. Hari ini segala-galanya Nisa lakukan untuk abang. Semua baju abang dalam almari tu Nisa dah gosokkan supaya nanti senang abang nak pergi kerja. Kasut abang pun Nisa dah kilatkan. Semua kertas-kertas kerja abang pun Nisa dah kemaskan betul-betul. Bila semuanya teratur, Nisa jadi puas hati. Semua itu pun untuk kesenangan abang juga.
2 April
Abang.... mulut ini tak pernah lelah memanggil abang...Rindunya Nisa pada abang hanya TUHAN yang tahu. Semakin menghampiri waktu itu, semakin memuncak rindu Nisa pada abang sampai Nisa tak tahu lagi bagaimana caranya untuk melampias rindu ini. Semakin dekat waktu itu semakin Nisa takut untuk kehilangan abang, semakin Nisa takut jauh dari abang.... Nisa takut semuanya menjadi yang terakhir untuk Nisa...
Andrian menyelak lagi helaian buku itu namun sudah tiada apa lagi yang tercoret dihelaian itu. Semuanya menjadi yang terakhir untuk Annisa? Apa maksud Annisa? Kenapa acap kali Annisa menyebut kali yang terakhir? Andrian sudah berdebar-debar. Ada sesuatu terjadi kepada Annisa ke? Andrian bingkas bangun. Dia keluar dari kamar.
" Nisa!" Andrian tercari-cari. Setiap bilik diperiksa namun kelibat Annisa tiada. Andrian melangkah ke dapur. Tetap kemas dan teratur. Seakan barang-barang disitu langsung tidak terusik.
"Nisa!" Muka Andrian sudah kemerahan. Dadanya sudah berombak-ombak. Ke mana Annisa pergi? Entah-entah Annisa berjumpa dengan kekasih hatinya. Tak guna! Kau kata setiap waktu kau tunggu aku balik tapi bila aku dah balik, batang hidung kau pun aku tak nampak! Hati Andrian sudah berbungkal geram. Dengan langkah pantas dia masuk semula ke dalam biliknya. Keluhan berat dilepaskan. Telefon bimbit Annisa dibelek-belek lagi. Peti mesej dibuka dan dibaca satu persatu. Tiada yang mencurigakan. Kebanyakan mesej yang dihantar adalah ke nombor lamanya.
Abang... Nisa sakit... Nisa sakit sangat...
Itu mesej Annisa yang terakhir. Mesej yang dihantar tiga bulan lepas. Andrian mula rasa tidak sedap hati. Berdegup kencang jantungnya memikirkan kemungkinan yang terjadi. Lantas Andrian menggeledah pula panggilan masuk dan keluar. Banyak panggilan yang dibuat ke atas nombornya dan juga Jannah. Semuanya dibuat tiga bulan yang lepas. Andrian memang kenal dengan Jannah. Jannah rakan kongsi Annisa. Rasanya Andrian boleh bertanya kepada Jannah. Pasti Jannah tahu apa yang berlaku. Lagipun sepanjang ketiadaannya Jannah yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga Annisa.
Ligat tangan Andrian menekan papan kekunci telefon bimbitnya.
" Assalamualaikum, Jannah..."
**
Andrian jatuh terjelepuk. Mencurah-curah air mata yang membasahi pipi.
" Annisa..."
Bergetaran suara Andrian menyebut nama isterinya.
" Nisa...abang datang..."
Andrian tersedu sedan. Hanya TUHAN yang tahu betapa sedihnya dia disaat itu. Kesedihannya sudah tidak mampu dibendung. Langsung tidak dipedulikan mereka yang berada di kawasan perkuburan itu.
" Ini suami saya, Amran." Jannah memperkenalkan seorang lelaki yang muncul dari belakang butik sambil mengendong seorang bayi. Andrian tergamam. Sumpah, dia tidak pernah lupa wajah 'kekasih' Annisa. Lelaki ini yang dilihat keluar dari rumahnya dahulu.
" Kau! Kau lelaki yang keluar masuk rumah aku malam tu, kan?" Amran dan Jannah saling berpandangan.
Jannah berfikir seketika kemudian dia mengukir senyuman.
" Setahu saya sekali saja saya pernah bawa suami saya ke rumah awak. Itu pun sebab kebetulan kami lalu di kawasan rumah awak malam tu dan niat kami ingin menjenguk Annisa bila dapat tahu yang Annisa disahkan hamil. Tapi malam tu awak tak ada dekat rumah."
Andrian terdiam. Dia mula tidak sedap hati.
" Tapi kenapa aku tak nampak kau? Aku hanya nampak dia saja yang keluar dari rumah tu." Andrian mula ragu-ragu.
Jannah memandang suaminya untuk meminta kepastian. Mustahil suaminya ada datang ke rumah Annisa lagi. Setahunya malam itulah kali pertama dia membawa suaminya menjenguk Annisa. Itu pun kebetulan mereka lalu berhampiran rumah Annisa lepas balik dari makan malam.
" Sebelum balik tu kan abang ke toilet dulu. Sayang dan Nisa kan tunggu abang dekat luar." Amran menjelaskan. Mana ada dia ke rumah Annisa selepas malam itu. Lagipun untuk apa dia ke rumah Annisa tanpa Jannah melainkan kalau Jannah mengajak dia dan dia tidak sibuk, mungkin dia boleh menemani Jannah. Kalau tiada hal lain rasanya tidak perlu dia menjejakkan kaki ke situ. Lagipun Annisa tinggal keseorangan. Itupun tidak banyak Jannah bercerita tentang Annisa dan Amran juga malas mahu mengambil tahu.
" Oh, yalah abang. Masa tu saya dalam kereta. Suami saya tumpang tandas rumah Annisa. Sambil-sambil tu saya dan Annisa berbual sementara tunggu suami saya."
" Kau tipukan?" Andrian masih kurang percaya. Mustahil dia tersilap pandang. Atau sebenarnya apa yang dikatakan oleh Jannah itu benar? Cuma dia yang tak perasan yang Jannah ada di dalam kereta. YA ALLAH, betul ke aku yang tersilap?
Jannah dan Amran mengerutkan dahi. Mereka langsung tidak faham kenapa Andrian terlalu mengesyaki Amran.
" Astagfirullah..." Jannah memekup mulutnya. Rasanya dia sudah dapat tangkap apa yang ada difikiran Andrian.
" Jadi selama ini awak tuduh suami saya ada hubungan dengan Annisa? YA ALLAH, Andrian, apa awak dah buat ni? Kerana prasangka awak yang tak berasas tu awak dah menghukum Annisa. Kenapa awak tak dengar penjelasan dari Annisa dulu? Annisa tak bersalah, Andrian!" Jannah terkilan. YA ALLAH, kasihan Annisa. Walaupun Annisa tak pernah berterus terang Jannah seakan dapat baca apa yang terjadi. Annisa dihukum tanpa belas kasihan.
Bagaikan masih terasa genggaman tangan Annisa sebelum ditolak ke bilik bersalin. Terbayang-bayang wajah Annisa yang sedang menanggung kerinduan yang teramat sangat pada suaminya. Jannah sendiri tidak dapat membayangkan jika dia berada di tempat Annisa.
Andrian hampir melurut mendengar penjelasan itu. YA ALLAH, apa aku dah buat ni? Betulkah aku telah membuat tuduhan melulu pada Annisa?
" Mana Annisa, Jannah? Mana Annisa?"
Jannah dan Amran saling berpandangan. Seakan berat untuk mereka bersuara. Jannah mengambil bayi kecil dari kendongan Amran.
" Ini Muhammad Fitri Shah... anak Annisa."
Andrian tergamam. Disambut bayi kecil itu. Muhammad Fitri Shah? Itulah nama yang menjadi anganan Andrian dan Annisa. Andrian mengucup dahi anak kecil itu. Berderai air matanya menahan rasa sebak di dada. Anak itulah yang dinafikan kelahirannya. Anak itulah yang disangkakan selama ini terhasil dari hubungan haram. YA ALLAH, berdosanya aku kerana meragui isteriku malah menghukum dia selama ini.
" Mana Annisa?" Andrian semakin berharap dapat bertemu Annisa. Rindunya semakin menggunung. Ingin dipeluk cium wajah isteri kesayangannya. Ingin dia melutut meminta maaf kepada Annisa. Ingin ditebus segala kesalahannya pada Annisa. Annisa... maafkan abang. Abang janji abang tak akan ragui Nisa lagi. Bagi abang peluang untuk menebus salah silap abang pada Nisa dan anak kita. Abang nak kita sama-sama membesarkan Muhammad Fitri. Abang janji abang tak akan sia-siakan Nisa lagi. Abang janji....
" Nisa... bangun Nisa. Jangan tinggalkan abang. Abang banyak buat dosa pada Nisa. Bagi abang peluang untuk tebus kesalahan abang. Bangun Nisa..." Andrian sudah meraung. Tangannya ligat menguis-nguis tanah pusara Annisa. Dia tidak dapat menerima hakikat yang Annisa sudah pergi meninggalkannya.
" Bangun Nisa! Jangan jadi isteri derhaka. Nisa kena dengar cakap abang. Nisa nak jadi isteri solehah abang, kan? Jadi Nisa mesti dengar cakap abang. Sekarang abang nak Nisa bangun, Nisa mesti bangun!" Andrian menggali kubur Annisa menggunakan tangannya. Dia sudah hilang sabar apabila Annisa tidak mahu mendengar arahannya.
" Mungucap Andrian. Bawa mengucap."
" Bangun Nisa. Jangan tinggalkan abang. Abang tak boleh hidup tanpa Nisa. Abang merayu jangan tinggalkan abang. Nisa! Tolonglah, abang merayu..." Andrian sudah meraung di situ. Amran menarik Andrian dari meneruskan perbuatannya menggali kubur Annisa. Andrian menepis. Dipeluk batu nisan Annisa, tidak mahu Amran memisahkannya dengan Annisa. Akhirnya Amran yang setia berada disisi Andrian hanya mampu melihat dengan rasa belas di dalam hati.
**
Abang....
Saat abang melafazkan akad nikah, Nisa sudah berjanji pada diri sendiri bahawa abang yang terakhir untuk Nisa. Hanya abang yang Nisa harapkan menjadi suami Nisa dunia akhirat. Nisa juga berjanji pada diri sendiri untuk jadi yang terbaik untuk abang. Nisa hargai segala pengorbanan abang. Kerana Nisa, abang sanggup melupakan keluarga abang. Abang memilih Nisa, sanggup bersusah payah untuk Nisa. Pengorbanan abang takkan Nisa sia-siakan.
Kebahagiaan kita semakin berganda saat Nisa disahkan mengandung. Selama hampir empat tahun kita menanti dan akhirnya TUHAN memakbulkan permintaan kita. Walaupun kandungan itu bakal membahayakan Nisa, namun Nisa tetap teruskan. Nisa tak mahu penantian kita selama ini menjadi sia-sia. Nisa tak mahu membunuh kebahagiaan yang sedang kita kecapi. Ampunkan Nisa kerana merahsiakannya dari abang. Untuk pengetahuan abang, Nisa menghidap kanser rahim. Maafkan Nisa kerana merahsiakannya. Ampunkan Nisa. Nisa terpaksa demi melihat abang bahagia... Cuma apa yang berlaku membuatkan Nisa rasa terkilan. Abang pergi dan menghukum Nisa sebelum sempat Nisa jelaskan apa-apa.
Abang, Nisa sakit sangat. Kadang-kadang rasa tak sanggup nak melalui kesakitan ini. Lagi-lagi segalanya Nisa alami sendiri. Tiada tempat untuk Nisa luahkan perasaan. Tiada tempat untuk Nisa minta pertolongan. Hari-hari Nisa lalui dengan tangisan dan air mata. Hancurnya hati Nisa, remuknya jiwa Nisa. Nisa peluk baju abang, Nisa cium gambar abang namun semua itu tidak mampu meredakan rasa yang terbungkam kuat dihati ini. Nisa hanya perlukan abang. YA ALLAH terlalu sakit perasaan ini. Terlalu sakit kerana terlalu merindui abang.
Abang...abang...abang... Mulut ini tak pernah berhenti menyebut perkataan itu sehingga disaat Nisa bersalin Nisa masih menyebut nama abang. Mengharapkan abang datang menemani Nisa, menggenggam tangan ini dan menyalurkan kekuatan untuk Nisa sehingga segalanya selesai. Nisa mahu abang lihat bagaimana sukarnya Nisa melahirkan permata abang. Nisa mahu abang tahu yang Nisa sanggup lalui apa saja kesakitan demi abang. Demi melihat abang bahagia, Nisa juga sanggup korbankan hati, perasaan dan juga nyawa Nisa.
Abang, ampunkan Nisa andai Nisa dah banyak lukai abang. Nisa insan yang terlalu banyak kekurangan namun Nisa cuba untuk jadi yang terbaik untuk abang. Andai nyawa Nisa tak panjang, halalkanlah makan minum Nisa. Nisa nak abang tahu yang Nisa tak pernah menyesal memilih abang sebagai suami Nisa. Nisa bertuah menjadi pilihan abang. Terima kasih untuk segalanya. Abanglah suami Nisa dunia akhirat, suami yang Nisa harapkan membimbing Nisa menuju ke JannahNYA.
Annisa...
Maafkan abang, ampunkan abang... Abang memang tak layak menjadi suami Nisa, kan? Kejamnya abang kerana mempersia-siakan hidup Nisa padahal sebaik sahaja akad nikah, abang sudah berjanji untuk menjaga Nisa sebaiknya. Abang memang manusia munafik, selalu sangat memungkiri janji.
Tipulah kalau abang cakap abang tak rasa apa-apa sejak meninggalkan Nisa. Dalam tempoh setahun abang hidup tanpa Nisa, TUHAN saja yang tahu betapa rindunya abang pada Nisa. Tapi kerana ego, kerana terlalu melayan rasa sakit hati, abang ketepikan semua perasaan itu. Abang tak dapat terima hakikat yang Nisa menduakan abang. Abang sengaja wujudkan rasa benci dan dendam pada Nisa agar mudah untuk abang melupakan Nisa. Macam-macam cara abang lakukan untuk melupakan Nisa. Tapi satu yang abang lupa, Nisa juga insan yang punya perasaan . Nisa juga tahu sakit. Nisa juga tahu sedih. Abang terlupa yang abang juga sudah meyakiti Nisa, abang terlupa yang abang juga telah menduakan Nisa, menduakan cinta kita. Abang tahu Nisa kecewa, abang tahu Nisa sedih tapi Nisa selalu berusaha untuk menyembunyikan kesedihan itu semata-mata ingin melihat abang bahagia sehingga abang rasakan Nisa tak kisah abang menikahi Maya. Kadang kala wajah tenang Nisa membuatkan abang ragu-ragu benarkah Nisa mencintai abang lagi. Sehinggalah kejadian malam itu, abang rasa tercabar. Macam-macam yang abang fikirkan. Macam-macam yang abang bayangkan. Abang tak rela Nisa menyakiti abang. Abang tak dapat terima kenyataan Nisa mencintai lelaki lain. Abang hanya mahu Nisa menjadi milik abang seorang. Hanya Nisa milik abang seorang. Sebab itu abang meninggalkan Nisa gantung tak bertali. Abang mahu Nisa rasa sakit seperti mana yang abang rasakan.
Rindu...tersangat rindu. Kadang-kadang abang sampai demam kerana terlalu merindui Nisa. Selalu risaukan Nisa. Selalu tertanya-tanya sihatkah Nisa? Lagi-lagi abang sudah jauh meninggalkan Nisa. Abang bawa Maya tinggalkan Kuala Lumpur dan menetap semula di Johor. Abang mengambil alih syarikat daddy. Abang tinggalkan Nisa sendirian di Kuala Lumpur kerana abang tahu Nisa boleh hidup sendiri. Abang fikir Nisa akan bahagia tanpa abang. Kalau Nisa boleh bahagia, kenapa tidak abang. Abang fikir abang juga akan bahagia bersama Maya. Tapi ternyata abang tersilap percaturan. Abang sedar Nisa yang terbaik untuk abang.
Abang kembali semula untuk membetulkan keadaan namun abang tak sangka ini yang terjadi. Abang tak sangka hidup Nisa terseksa sejak abang pergi. Abang tak sangka Nisa menanggung beban yang maha berat selama ini. Kenapa Nisa sembunyikan penyakit Nisa? Kenapa Nisa sanggup membahayakan diri Nisa semata-mata ingin memberi zuriat untuk abang? Abang lebih tega tidak mempunyai zuriat sampai bila-bila daripada abang terpaksa kehilangan Nisa. Nisa ingat abang mampu untuk teruskan kehidupan tanpa Nisa? Nisa silap. Abang cuba untuk teruskan hidup ini tapi ternyata abang tak mampu. Semakin hari abang semakin merindui Nisa. Hanya TUHAN yang tahu sakitnya apa yang abang rasakan. Ditambah pula dengan rasa bersalah dan berdosa abang terhadap Nisa, membuatkan hidup abang semakin terseksa. Sampai hati Nisa pergi tinggalkan abang sebelum sempat abang memohon ampun pada Nisa.
Abang terlalu menyayangi Nisa. Kalau Nisa sanggup mati kerana abang, abang juga begitu. Cinta abang pada Nisa dunia akhirat. Abang juga hanya mahukan Nisa menjadi isteri abang dunia akhirat. Hanya Nisa yang layak menjadi isteri abang. Hanya Nisa yang abang inginkan. Nisa...berilah abang peluang untuk menebus dosa abang terhadap Nisa. Berilah abang peluang sekali lagi untuk menjadi yang terbaik untuk Nisa. Abang sangat menyesal dengan apa yang berlaku. Bodohnya abang kerana bertindak melulu dengan melukai Nisa. Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang....
" Andrian, jangan tinggalkan mummy. Mummy merayu jangan tinggalkan mummy..." Datin Maria sudah menangis teresak-esak. Hanya Andrian permata hatinya, satu-satunya anak yang dia ada. Dia tidak sanggup kehilangan anak lelaki kesayangannya itu.
Datuk Bahadur sudah memeluk bahu isterinya. Dia juga tidak dapat membendung kesedihan. Melihat Andrian yang sedang terbaring kaku membuatkan hatinya diasak kesedihan yang teramat sangat. Andrian telah mengalami kemalangan jalan raya. Kalau dilihat pada zahir, Andrian hanya mengalami luka ringan saja namun entah mengapa semakin hari keadaan Andrian semakin parah. Doktor sendiri tidak dapat mengesan penyakit yang dialami Andrian. Mereka hanya mampu berserah dan mengharapkan keajaiban berlaku.
" Andrian..." Maya meluru masuk ke dalam wad. Tubuh Andrian yang terbaring kaku dipeluk erat.
" I minta maaf, jangan tinggalkan I...Please, I beg you!"
" Hei, perempuan! Jangan sentuh anak aku!" Datin Maria memekik. Ditolak kasar tubuh Maya. Tidak rela perempuan sejijik Maya menyentuh kulit anaknya walaupun seinci.
" Aku takkan benarkan kau sentuh anak aku. Pergi kau dari sini. Pergi!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Pergi!!!"
" Mummy, maafkan Maya... Maya janji tak buat lagi. Maafkan Maya..."
" Jangan panggil aku mummy. Kau tak layak panggil aku macam tu. Dasar perempuan tak ada harga diri. Annisa lebih mulia dari perempuan macam kau. Pergi kau dari sini!!!"
Disaat mereka bertelagah, Andrian masih dengan dunianya. Biarlah apa pun yang berlaku sekarang, dia sudah tidak mahu ambil tahu apa-apa pun. Dunianya kini hanya Annisa. Andrian mengerdipkan matanya saat terlihat susuk tubuh seseorang datang menghampirinya.
" Nisa..." Andrian seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Wajah mulus Annisa ditatap dengan rindu yang sangat mendalam. Walaupun wajah itu kelihatan sedikit pucat namun wajah Annisa tetap nampak bercahaya. Seperti selalu wajah itu tetap sejuk mata yang memandang.
" Nisa datang nak jemput abang. Abang sudi tak ikut Nisa?"
Cepat Andrian mengangguk.
" Hidup abang hanya untuk Nisa. Abang tak sanggup hidup tanpa Nisa lagi. Bawalah abang bersama. Abang hanya mahu Nisa menjadi isteri abang dunia akhirat. Abang hanya mahu bersama Nisa..." Andrian sudah menyambut huluran tangan Annisa. Dia sudah bulat dengan keputusannya. Cukuplah selama ini dia hidup sengsara tanpa Annisa. Dia tidak mahu terus terseksa selamanya.
Mummy, daddy... maafkan Ian. Apa pun terjadi Annisa tetap menjadi pilihan Ian. Hanya Annisa isteri Ian dunia akhirat. Maya, abang maafkan segala silap Maya. Jagalah anak Maya sebaik mungkin. Halalkanlah hubungan Maya dengan kekasih Maya. Anak Maya perlukan kasih sayang dari bapanya. Muhammad Fitri Shah, cinta hati papa dan umi, papa serahkan segalanya pada mama Jannah. Papa yakin mama Jannah mampu menjaga Fitri macam anak sendiri dan papa yakin mama Jannah dan papa Amran terlalu menyayangi Fitri. Papa terlalu menyayangi umi dan papa tak mahu kehilangan umi lagi. Papa sentiasa mendoakan Muhammad Fitri menjadi manusia berguna dan sentiasa dalam lindungan ALLAH. Papa dan umi sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Muhammad Fitri. Papa dan umi pergi bukan kerana kami tak sayangkan Fitri tapi kerana kami tidak diberi kesempatan untuk melihat Fitri membesar. Namun papa tak pernah menyesal dengan segala ketentuanNYA. PerancanganNYA adalah sebaik-baik perancangan. Papa bahagia selagi umi berada disisi papa. Hanya umi isteri papa hingga ke akhir nafas papa... Hanya Annisa...

No comments:
Post a Comment