Friday, 2 December 2016

Kau Bintang Hatiku 5

BAB 5


   SUDAH lima bulan Harish mengambil alih Permata Gemilang. Harish cepat mahir dalam selok-belok perniagaan. Dia cekap melakukan tugasannya. Segala masalah yang melanda mampu ditanganinya dengan baik. Datin Zarah amat bangga dengan kecekapan Harish mengendalikan perniagaan keluarga mereka. Kebijaksanaan Harish itu benar-benar diwarisi dari arwah daddynya. Kepulangan Harish telah membawa perubahan besar dalam semua aspek.
   Perubahan besar itu juga turut melanda Nira. Nira sudah tidak seceria dulu. Mukanya akan masam mencuka ketika berada di pejabat. Dia juga tidak semena-mena akan mengamuk besar apabila hal dirinya dengan Harish diperkatakan oleh staf-staf di pejabat. Memang pantang datuk nenek moyang dia bila dikaitkan dengan Harish. Alergik sungguh dia dengan lelaki itu.
  Kerana Harish, Nira berubah secara mendadak. Pejabatnya yang dianggap syurga dahulu, kini telah bertukar bagaikan berada di padang pasir. Perasaannya akan membahang lalu membakar setiap kali Harish menggugat kesabarannya. Sikap Harish memang sudah keterlaluan. Harish suka mendesak dia melakukan kerja yang tidak termasuk dalam skop tugasannya.
 Ketika Datin Zarah menguruskan Permata Gemilang dahulu, Datin Zarah agak memanjakannya. Datin Zarah tidak mahu Nira bersusah payah mengemas bilik pejabatnya malah melarang Nira menyediakan minuman pada waktu pagi dan petang. Kak Sharifah telah dilantik khas oleh Datin Zarah untuk melakukan semua itu. Kata Kak Sharifah, Datin Zarah terlalu menyayanginya sebab itulah Datin Zarah tidak sampai hati mahu menyusahkan Nira.
  Tapi kini… semuanya sudah berubah. Nira sudah tidak lagi boleh bersenang-lenang seperti waktu dahulu. Bukan dia mahu merungut dengan tugasan yang telah diberikan tapi…agak-agaklah. Tak kan sampai tingkap dan lantai bilik pejabat Harish pun dia yang kena mop jugak. Kalau macam tu makan gaji buta la mak cik cleaner kat Permata Gemilang ni!
  Harish telah mengolah skop tugasan Nira. Setiap pagi Nira perlu menyediakan secawan nescafe dan beberapa keping roti bakar kerana Harish jarang bersarapan di rumah. Harus diingatkan bahawa hanya Nira yang perlu menyediakan sarapan pagi untuk Harish. Orang lain tidak perlu meringankan tangan membantu Nira. Kalau sampai ke pengetahuan Harish, tidak semena-mena Harish akan memecat mereka yang terlalu baik hati membantu Nira. Betapa kejamnya Harish! Waktu tengahari pula, Nira tidak dibenarkan keluar makan selagi Harish tidak membenarkannya malah Harish sengaja membebankan Nira dengan kerja yang banyak. Namun begitu, Nira tidak ambil peduli dengan arahan Harish. Dia tetap keluar makan dengan kawan-kawannya tanpa mempedulikan kerja-kerja yang Harish tinggalkan di atas mejanya. Kalau Harish tahu tentang itu tentu perang mulut akan berlaku. Tapi Nira tidak sesekali gentar dengan Harish. Dia sudah jelak dengan sikap Harish yang menjengkelkan seperti itu. Kalau Harish mahu memecatnya sekalipun Nira sudah tidak kisah. Dia memang sudah tidak betah duduk sebumbung dengan lelaki angkuh dan berlagak seperti Harish.
  Adakalanya Nira pelik dengan sikap Harish. Harish begitu mesra dengan staf-staf lain sedangkan bila bersama Nira, mereka seringkali bertengkar. Ada saja yang Harish tidak puas hati dengannya. Nira tidak tahu mengapa Harish perlu bersikap begitu. Kadang kala Nira jadi bingung. Apa sebenarnya yang Harish nak dari dia? Kenapa Harish seakan menganggap dia seperti musuh? YA ALLAH…Apa aku nak buat sekarang? Nira mengeluh.
   “ Nira, masuk sekejap!”
Nira terkejut. Walaupun disediakan perkhidmatan interkom yang memudahkan mereka berinteraksi namun Harish lebih suka menjerit-jerit memanggilnya. Kalau keadaan seperti ini berterusan, tentu Nira akan mengalami masalah jantung kerana acap kali terkejut mendengar jeritan nyaring Harish seperti itu.
   Nira mengeluh lagi. Nak apa pula mamat ni? Masuk ni je dah lima kali aku keluar masuk bilik dia. Hisy…macam-macam
kerenah betul orang tua ni!

   “ Ada apa Encik Harish?”
    Nira bersuara sebaik sahaja melangkah ke dalam bilik pejabat Harish.
   Harish yang sedang tekun membuat kerja, mengangkat muka. Anak matanya pantas menangkap kerutan yang terukir di dahi Nira. Harish tahu Nira sedang menahan rasa tidak puas hati.
   “ Buatkan nescafe untuk saya,”ujar Harish sambil menyambung semula kerjanya.
   Nira mencebik. Baru tadi aku buatkan dia nescafe takkanlah dah habis. Huh, memang dasar ‘hantu’ nescafe . Menyampah aku!
   “ Ini airnya Encik Harish.”
   Nira meletakkan secawan nescafe di atas meja kerja Harish yang berselerak dengan kertas kerja. Harish langsung tidak memandang Nira yang sedang memerhatikan tingkah lakunya.

   “ You can go now and do your work. Jangan sesekali curi tulang.”
   Nira mengetap bibir. Dah lah aku tolong buatkan nescafe untuk dia, langsung tak ucapkan terima kasih. Lepas tu bukan main selamba lagi dia halau aku keluar. Apa, kau ingat aku ni kuli kau ke? Sesuka hati mak bapak jiran kau je nak buat aku macam ni. Eh, jiran kau akulah kan? Huh! Memang tak patut langsung Harish ni!

   Nira mengatur langkah keluar dari bilik Harish. Baru saja dia ingin melabuhkan punggung di kerusi, Harish melaungkan namanya lagi.
    Nira mendengus kasar. Dia ni nak apa lagi? Tak boleh ke tengok aku senang sikit? Suka betul menyusahkan aku!
   “ Baik kau masuk cepat, Nira. Mengamuk pula Encik Harish tu nanti,” sela Kak Sharifah. Dia faham benar dengan permasalahan yang melanda Nira dan Harish. Mereka berdua ni memang pantang berjumpa, ada saja yang tak kena. Tapi yang peliknya boleh pulak mereka bekerjasama kalau melibatkan kerja. Kepala kak Sharifah tergeleng-geleng.
    Nira mengerling sekilas ke arah kak Sharifah sebelum melangkah ke bilik Harish.

   “ Saya tak sukakan Encik Harish!” jerkah Nira.
   Kak Sharifah ketawa kecil mendengar kata-kata itu.
  “ Awak nak apa lagi?!” Nira meninggikan suara sebaik sahaja matanya menangkap susuk tubuh Harish yang sedang duduk santai di kerusinya. Bos tak bos, aku peduli apa. Jangan ingat aku takut dengan kau! Nira membentak sendirian.
   Sejak mengenali Harish, dia memang suka bercakap sendirian. Biarlah orang nak kata dia tak betul pun, dia tak kisah. Janji hati dia puas.
   Harish mengangkat muka. Dia memandang Nira yang sudah merah padam menahan marah. Serta-merta terukir senyuman sinis dibibirnya. Puas hati dia melihat wajah cemberut itu.
   “ Dah pukul berapa sekarang?” tanya Harish selamba.
   Dahi Nira berkerut. Takkan dia panggil aku semata-mata nak tahu jam dah pukul berapa. Dia kan ada jam tangan sendiri. Lagipun.. tu ha..terang-terang sangat ada jam besar yang tergantung kat dinding tu. Lagi mahu tanya ke?

   “ Encik Harish kan ada jam. Tak reti-reti nak tengok sendiri ke?”Nira membalas selamba. Dia semakin meluat dengan sikap Harish. Kenapalah dia perlu bertemu lelaki berlagak ni. Alangkah bahagia hidupnya kalau dia tidak mengenali Harish.
   “ Saya tanya awak, Nira.”
   Nira mendengus kasar. Dia mengerling ke arah jam tangannya.
   “ Hm…pukul 3.15.”
   Kening Harish terangkat.
   “ Eh, yeke?”
   Harish mengerling pula ke arah jam tangannya sendiri. Huh, tahu pulak tengok jam! Nira merungut dalam diam.
   “Hm, cepat betul masa berlalu,” kata Harish sambil menyandarkan tubuhnya di belakang kerusi. Dia tersenyum memandang Nira yang sedang keresahan.
   “ Awak dah makan?” tanya Harish.
  Nira terdiam. Tanpa pengetahuan Harish, dia telah curi-curi keluar makan dengan kawan-kawan pejabatnya. Aduh, nak mengaku kat Harish ke? Argh.. peduli apa aku! Nak marah, marahlah. Aku langsung tak heran. Lagipun aku ada hak nak buat apa pun. Dia siapa nak atur-atur hidup aku.
  “ Saya tahu awak dah lunch dengan Kak Pah dan Tina tadi, betul tak?” sela Harish sebelum sempat Nira membuka mulut.
   Nira tersenyum sinis.
  “ Baguslah kalau Encik Harish dah tahu,” jawab Nira selamba.
   Harish terdiam. Tangannya mengusap perutnya yang sudah berkeroncong.
  “ Saya baru ingat nak ajak awak pergi makan tapi awak tentu dah kenyang sekarang. Tak apalah kalau macam tu.”
   Nira mengerutkan dahi. Apa mimpi mamat ni nak ajak aku keluar makan? Buang tebiat agaknya dia ni.
  “ Saya lapar…”
  “ So?”
   Nira memeluk tubuh. Dia memang tahu yang Harish belum keluar makan tengahari. Tentu lelaki itu sedang kelaparan. Kesian…
   “ Awak tolong belikan nasi paprik untuk saya.”
  “ Ok. Nanti saya suruh Aman tolong belikan,” kata Nira. Dia sudah berkira-kira untuk keluar. Biarlah Aman yang selaku office boy itu yang pergi belikan makanan untuk Harish.

   “ Saya nak awak yang pergi beli! A.W.A.K!”
   “ What?!”
   “ Apa what-what? Awak tak faham ke apa yang saya cakap tadi? Saya nak awak yang pergi belikan makanan untuk saya.”
     Mata Nira membulat. Dia mencekak pinggang. Amboi, mengada-ngadanya mamat ni!
  “ Kenapa mesti saya? Encik Harish yang nak makan, Encik Harish lah yang pergi beli sendiri!”
  “ Awak butakah? Kan saya tengah sibuk sekarang,” balas Harish. Suaranya sudah meninggi. Pantang jika permintaannya ditolak. Egonya rasa tercabar.
   “ Encik Harish, saya pun ada banyak kerja lagi nak kena buat. Saya nak minta office boy yang belikan, Encik Harish tak nak. Berkira! Ingat sikit yang saya ni secretary awak bukannya orang gaji awak!” tempelak Nira. Dia sudah mula naik angin. Harish memang sengaja mahu menyusahkannya.
  “ Saya tak peduli. Pergi belikan untuk saya sekarang!” Harish berdiri. Dia mencekak pinggangnya. Anak matanya tajam menikam mata Nira.
   “ Saya tak ingin!”
  Nira melangkah keluar. Sempat dia menghempaskan pintu bilik Harish tanda memprotes. Biar tercabut pintu itu sekalipun dia sudah tidak kisah. Nira bercekak pinggang, dadanya turun naik menahan marah. Kalau ikutkan hati tadi memang melayang kasut dia ke muka Harish. Sesuka hati dia je nak mengarah orang. Jangan ingat kau bos besar, kau boleh buat sesuka hati!
   “ Eh, Nira. Kenapa ni?” Ada kerutan yang terukir di dahi kak Sharifah apabila melihat wajah Nira yang masam mencuka. Ini tak lain dan tak bukan, mesti mereka bergaduh lagi. Apalah nak jadi dengan mereka berdua ni. Dah macam anjing dengan kucing. Keluh Kak Sharifah.
   “ Saya nak baliklah. Dah tak ada mood nak kerja!”
   Nira mencapai beg tangannya lantas mengorak langkah pantas pergi dari situ. Biar Harish mengamuk bila dapat tahu aku balik waktu kerja. Aku tak kisah. Dia nak pecat aku, itu lantak dialah. Yang penting sekarang, aku betul-betul marah. Lebih lama aku di sini, makin membahang hati aku. Tak apalah Harish. Hari ni hari kau. Esok lusa hari aku pula!

No comments:

Post a Comment