BAB 6
SHIRA terkejut kecil apabila pintu rumahnya dihempas dengan kuat. Dia menoleh ke arah Nira yang kelihatan marah. Terkumat-kamit mulut Nira membebel sesuatu.
Shira mengerling ke arah jam dinding. Eh, awal Nira balik hari ni. Mesti ada apa-apa yang terjadi. Kalau tak, takkanlah Nira marah-marah. Pasal Harish lagilah tu.
Shira mengukir senyuman apabila Nira melabuhkan punggung disebelahnya. Nira mencapai makanan ringan di atas meja kecil di hadapannya lalu mengunyah dengan rakus sekali. Dah macam seminggu tak makan pula gayanya.
“ Awal kau balik hari ni,” ujar Shira seraya memecah kesunyian di antara mereka.
Nira mendengus kasar. Mengingati Harish membuatkan bencinya meluap-luap terhadap lelaki itu.
“ Cakap orang…kau pun sama jugak. Kenapa balik awal?”
Shira mengeluh kecil mendengar pertanyaan itu.
“ Aku half day. Malas aku nak tengok muka monyok bos aku tu,” jawab Shira. Terbayang –bayang wajah bosnya, Andrian di ruang mata.
Mata Nira membulat.
“ Bos kau monyok pun kau ambil half day? Pelik aku.”
“ Sebenarnya aku tak berapa sihat. Rasa macam nak demam.”
Nira terus menekap telapak tangannya di dahi Shira. Mula terasa bahang. Wajah Shira juga kelihatan sedikit pucat.
“ Dah pergi klinik?”
Shira mengangguk.
“ Tak payah risaulah. Aku dah makan ubat tadi. Sekejap lagi okeylah ni,” ujar Shira. Dia tahu kebimbangan yang bermain dihati Nira. Dalam diam Shira terharu. Nira memang mengambil berat tentang dirinya. Bertuah dia mempunyai sahabat baik seperti Nira.
“ Tadi kau kata bos kau monyok? Kenapa pula? Selalunya diakan suka marah-marah. Kenapa pula dengan dia hari ni?” tanya Nira. Dia berminat ingin tahu perihal Andrian. ‘Bos paling jahat di dunia’. Itulah gelaran yang Shira berikan pada lelaki itu.
“ Aku dengar mamat tu dah putus tunang. Tunang dia tu dah lari pada lelaki lain. Tu yang dia macam orang gila je tu. Padan muka. Itulah, berlagak sangat. Memang tergelak sakan aku bila dapat tahu cerita sensasi tu,” kata Shira lalu melepaskan tawa galaknya. Riak wajah Andrian yang patah hati itu membuatkan Shira terasa seperti mahu tergelak berguling-guling. Itulah, dulu kau berlagak dengan aku. Selalu tayang tunang kau depan aku, kan? Sekarang rasakanlah nikmat makan hati berulam jantung. Lagipun lelaki macam tu siapalah yang tahan. Kalau aku, dibagi free pun aku tak nak!
“ Kesian dia…” keluh Nira tiba-tiba.
Shira membeliakkan matanya mendengar keluhan itu.
“ Kesian? Hei, aku ni lagi kesian, tahu tak! Hari-hari aku kena mengadap muka bengis dia. Asyik aku saja yang kena marah. Fed up aku! Dia tak habis-habis cari kesalahan aku, itu tak betul, ini tak betul. Entah apa yang dia tak puas hati dengan aku agaknya. Tapi hari ni aku betul-betul puas hati tengok muka monyok dia tu. Baru padan dengan muka dia,” jerkah Shira dengan dendam yang membara. Kalau ikutkan hati dia mahu meraikan hari itu. Mahu dibuatnya pesta besar-besaran. Dia mahu memberitahu seluruh dunia yang dia gembira melihat Andrian jatuh tersungkur seperti itu. Memang bijak keputusan yang dibuat oleh tunang Andrian. Lelaki seperti Andrian memang tidak layak dibagi muka. Berlagaknya memang tak boleh tahan!
Nira mengeluh kecil. Kalaulah Harish jadi macam Andrian, pasti seronok. Bolehlah dia gelakkan Harish yang bermuka monyok bila putus cinta. Silap haribulan, buat kenduri kesyukuran pula dia. Eh, tapi Harish dah ada girlfriend ke?
“ Hah, yang kau ni kenapa pulak Nira? Bergaduh dengan Harish lagi ke?”
Pantas Nira mengangguk. Tak perlu berselindung dengan Shira kerana Shira telah mengetahui segalanya tentang Harish. Pada siapa lagi Nira mahu mengadu kalau bukan pada Shira.
“ Er… aku rasa aku nak berhenti kerjalah Shira,” ucap Nira sambil mengeluh. Memang itulah yang difikirkan sejak kebelakangan ini. Dia sudah tidak sanggup lagi bekerja dengan Harish di bawah satu bumbung. Harish terlalu ego dan angkuh. Berlagak pulak tu. Asyik nak ikut cakap dia saja. Betul-betul membuatkan Nira langsung tidak dapat mengawal kemarahan.
“ Aku rasa macam dah tak boleh nak tahan lagi dengan Harish. Dia tu semakin hari semakin melampau, kau tahu tak!” tambah Nira lagi.
“ Nira…jangan bertindak terburu-buru. Kalau Harish tahu kau mengalah tentu dia gembira. Kau kena bertahan. Lelaki ego macam Harish tu memang kena ajar sikit. Biar dia sedar tinggi rendah langit ni. Sampai bila kau nak tengok
Harish dengan ego dia tu. Sekurang-kurangnya kau perlu bertindak untuk menyedarkan dia. Kau tak nak tengok ke Harish tewas di tangan kau? Sekurang-kurangnya biar dia tahu bukan semua perempuan lemah,” kata Shira panjang lebar. Dia tidak mahu Nira cepat mengalah. Baginya dengan mengalah samalah seperti menjatuhkan maruah sendiri.
Nira terdiam. Kata-kata Shira memang ada benarnya. Lelaki seperti Harish memang patut diajar. Tapi bagaimana caranya? Takkan dia nak ajak Harish bertumbuk pulak. Silap haribulan dia pula yang kena tahan wad. Lainlah kalau dia ada ilmu mempertahankan diri, memang dah lama Harish kena penangan dia. Seketika kemudian Nira melepaskan keluhan.
“ Nira…aku tak paksa sama ada kau nak berhenti kerja atau tidak. Tapi aku hanya nak ingatkan kau saja, dah hampir tiga tahun kau bekerja di syarikat auntie Zarah. Tentu auntie takkan benarkan kau berhenti kerja. Aku tahu kau dah tak sanggup lagi nak mengadap muka Harish setiap hari. Tapi bagi aku…perbuatan kau berhenti kerja akan menjadi sesuatu yang sia-sia sebab kau akan tetap tengok muka dia jugak.”
Nira mengerutkan dahi. Dia tidak mengerti maksud kata-kata Shira.
Melihat wajah Nira yang berkedut seribu membuatkan Shira meletuskan tawa.
“ Kau lupa ke yang Harish tu jiran kita? Rumah dia pun, dekat sebelah tu je. Kau mengelak macam mana sekalipun, kau akan tetap tengok muka dia jugak,” kata Shira sambil menepuk lembut bahu Nira.
Nira menepuk dahi mendengar kata-kata Shira. Macam manalah aku boleh lupa yang Harish tu jiran aku. Jiran sebelah rumah pulak tu. Betul kata Shira… perbuatan aku berhenti kerja akan menjadi sesuatu yang sia-sia kerana aku akan tetap tengok muka mamat tu. Apa aku nak buat sekarang? Pindah rumah? Gila! Shira pasti tak akan setuju dengan cadangan gila aku ni. Argh…Harish, kenapalah aku perlu serabutkan otak memikirkan kau. Kenapa kau perlu muncul dalam hidup aku? Tak boleh ke kau biarkan aku hidup tenang? Kalaulah aku diberi peluang untuk membuat permintaan, aku akan minta supaya kau dilenyapkan dari pandangan mata aku!
Nira terjerit kecil apabila handphonenya berbunyi tanda ada mesej masuk.Itulah, siapa suruh pasang volume sampai maksimum, kan dah terkejut. Pantas dicapai 3310 yang menjadi kesayangannya. Apa, ingat zaman dah moden tak ada lagi ke yang pakai handphone macam ni? Handphone ni bagus, ada ciri-ciri keselamatan. Kalau dibaling dekat anjing pun anjing boleh pengsan, silap haribulan boleh mati. Handphone jenis ini juga tidak melekakan. Tidak perlu dia membuang masa melayan Facebook, Twitter, We Chat atau seumpama dengannya yang agak melekakan.
Hei, awak ingat ini company bapak awak ke, boleh balik sesuka hati waktu kerja. Cepat datang sini balik. Ada banyak kerja yang awak kena selesaikan.
Nira mengetap bibir. Tentu kak Sharifah sudah memaklumkan pada Harish yang aku balik rumah. Kalau tak, takkanlah Harish sanggup hantar mesej kat aku.
“ Siapa tu Nira?”
“ Harish. Dia suruh aku balik semula ke pejabat. Katanya, ada banyak kerja yang aku kena selesaikan,” jawab Nira.
“ Habis tu kau nak pergi ke? Kalau nak… jom aku hantarkan.”
Nira menggeleng.
“ Malas!”balas Nira selamba. Memang dia sudah tak ada mood langsung untuk kembali semula ke pejabat ketika itu.
“ Tak takut Encik Harish kau tu mengamuk ke nanti?”Shira ingin menduga.
Nira mendengus.
“ Dia nak mengamuk ke, nak menangis ke, itu dia punya pasal. Aku peduli apa. Hari ni aku nak berehat saja di rumah. Aku tak nak langsung tengok muka dia,” jawab Nira sambil melurut rambutnya yang panjang. Shira tersenyum mendengar jawapan dari Nira. Nira semakin lama semakin berani menentang Harish. Itu satu perkembangan yang baik. Nira tidak akan ditindas dengan mudah oleh lelaki seperti Harish. Shira tersenyum bangga kerana Nira menurut setiap nasihat percumanya.
No comments:
Post a Comment